spm-gagal
spm-gagal

“Usah dibuai dengan khayalan kekayaan”, guru kongsi realiti menjadi seorang ‘drop out’ universiti

Adlan Farhan Azwan
21 Jun 2022 03:09pm
A
A
A

Melanjutkan pengajian atau terus bekerja sejurus tamat alam persekolahan merupakan antara dilema yang dialami oleh kebanyakan pelajar di Malaysia.

Kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing dan apa yang paling penting adalah pelajar teruskan berusaha dalam apa jua pilihan masa depan.

Baru-baru ini, tular di laman media sosial apabila terdapat segelintir pelajar yang ‘bangga’ menunjukkan slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dengan keputusan semua gagal (G).

Menjadi satu kegusaran buat masa depan anak-anak muda apabila pelajar ini tidak langsung mempunyai kekesalan sebaliknya menganggap ia sesuatu yang normal.

Sinar Bestari tertarik dengan satu hantaran di laman Facebook daripada seorang pendidik serta aktivis sosial, Cikgu Zahran Yaakob yang membuat perkongsian tentang realiti sebenar sekiranya pelajar mengambil keputusan untuk menjadi seorang ‘drop out’ universiti atau tidak bercita-cita tinggi dalam akademik.

Jom ikuti perkongsian tersebut.

*

Ramai yang berkata, tidak perlu masuk universiti pun boleh berjaya. Memang benar. Ramai sahaja kaya tanpa perlu masuk universiti. Sekadar tamat darjah enam pun boleh jadi jutawan. Memang benar.

Universiti ialah kemuncak dalam persada ilmu. Kita belajar bersama para pensyarah yang memiliki kepakaran tinggi dalam bidangnya dan kita dilatih untuk menjalankan penyelidikan serta proses kesarjanaan yang sangat mencabar.

Mereka memberi contoh ‘drop out’ yang berjaya sebagai bukti bahawa kesarjanaan itu tidak penting. Lalu muncul nama Bill Gates dan beberapa orang lagi ‘drop out’ universiti terkemuka. Berhenti belajar dan berjaya.

Ibu bapa Bill bukan calang calang. Bapanya, William Henry Gates merupakan seorang peguam yang kaya raya. Memiliki firma guaman terkenal. Pada awal penubuhan Microsoft, William Henry memainkan peranan untuk membantu Microsoft dari segi perundangan.

Ibu Bill, Mary Anne adalah salah seorang Lembaga Pengarah United Way Foundation, sebuah badan antarabangsa dan pernah menjadi pengerusi. Di dalam jawatankuasa United Way ialah Pengerusi IBM iaitu John Opel. IBM adalah antara syarikat yang membuka peluang kepada Microsoft sehingga menjadi gergasi perisian. Tentu ibunya ada memainkan peranan membantu Bill.

Bill ‘drop out’ universiti selepas melihat peluang besar di hadapan. Adakah Bill akan ‘drop out’ jika ibu dan bapanya cuma seorang peladang?

Hari ini, anak anak dikaburkan dengan kisah ‘drop out’ sehingga mereka tidak bersemangat lagi menggali khazanah ilmu peringkat tertinggi. Ada yang memberi contoh founder produk yang gagal SPM tapi memiliki harta yang kaya raya.

Guru di sekolah memberi contoh supaya berjaya dalam peperiksaan agar dapat masuk ke universiti, bukan untuk mendapat kerja sebagai pegawai tinggi, tetapi oleh sebab proses mencari ilmu itu perlulah sehingga kemuncak tertinggi.

90 peratus yang masuk universiti boleh dikatakan mendapat pekerjaan yang baik. Jika bekerja sendiri sekalipun, mereka boleh menggunakan kepakaran mereka yang dipelajari.

Hanya 10 peratus ‘dropout’ berjaya menjadi jutawan manakala selebihnya terpaksa bersaing dengan lain-lain kelompok.

Usah memanipulasi pelajar ini dengan kemewahan. Galakkan mereka mencapai tahap tertinggi dalam akademik sebelum terjun ke dalam apa jua bidang pun.

Sepertimana pesan Saidina Ali KWJ, beza antara harta dan ilmu, ilmu semakin digunakan semakin bertambah, sedangkan harta semakin digunakan semakin berkurang. Ilmu akan menjaga dirimu, sedangkan harta, kamulah yang perlu menjaganya.

Wahai adik adik, jika ada peluang menyambung pelajaran, pergilah. Usah dibuai dengan khayalan kekayaan. Sudah ilmu penuh di dada, buatlah apa pun yang kalian mahu.

Sumber: Facebook Cikgu Zahran

Artikel berkaitan

Trend tayang keputusan SPM semua ‘G’ di TikTok, bukan satu kebanggaan

Perkara yang perlu dititik berat sebelum buat keputusan untuk bekerja atau belajar

Disiplin diri kunci kejayaan pelajar UTM, rangkul Anugerah Canselor dan Anugerah Akademik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok