Dalam usaha memupuk kesedaran tentang pengurusan kewangan dalam kalangan mahasiswa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Bicara Ekonomi: Jom Buat Duit dengan Saham.
Telah diadakan secara dalam talian pada 22 Jun lalu, program yang dianjurkan oleh Exco Ekonomi dan Keusahawanan, Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada mahasiswa dan orang awam berkaitan saham sekali gus melahirkan individu yang bijak mengambil peluang dalam pengurusan kewangan terutamanya dalam era ketidakstabilan ekonomi ini.
Menampilkan perunding saham Investment Bank di Malaysia, Muhammad Rafiq Jajuli sebagai panel, beliau telah berkongsi ilmu pengetahuan dalam dunia saham.
Beliau menjelaskan, bagi membuat duit dengan saham, ia memerlukan dua transaksi penting iaitu dengan membeli saham yang betul, berpotensi serta mempunyai nilai masa depan yang bagus.
Ini bermaksud, individu digalakkan untuk membeli jualan saham yang sedang meningkat naik dan mengikut ‘trend’ masa kini.
"Yang keduanya pula, untuk melengkapkan dan inginkan keuntungan tersebut hendaklah melakukan jualan yang tepat.
"Apabila sudah beli saham yang bagus kemudian kita jual dan barulah mendapat keuntungan tersebut.
"Oleh itu, urus niaga saham yang penting ialah beli dan jual (ketika waktu yang sesuai),” katanya.
Tambahnya, perkara penting sebelum ‘main’ saham adalah dengan membuka akaun melalui perunding yang betul.
"Ini kerana ramai masyarakat hari ini mudah tertipu dengan pembukaan saham tanpa akaun kerana tidak mempunyai pengetahuan yang cukup berkaitan dengan aktiviti pelaburan.
"Apa yang mereka tahu cuma inginkan pulangan yang berlipat kali ganda,” jelasnya.
Dalam pada itu, salah seorang peserta program, Siti Musfirah Idris, 23, berpendapat program tersebut merupakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya mahasiswa tentang langkah untuk memulakan simpanan saham.
"Ini merupakan kali pertama saya mengikuti program seperti ini. Banyak manfaat yang saya telah perolehi antaranya langkah yang harus dilakukan untuk memulakan pelaburan iaitu dengan membuka akaun terlebih dahulu dan program ini secara tidak langsung mendidik diri saya untuk menabung di usia muda.
"Saya berharap program seperti ini akan dianjurkan lagi pada masa hadapan dan dapat menarik lebih ramai peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat,” jelasnya.
Semoga segala perkongsian daripada panel hebat ini dapat membuka mata masyarakat mengenai saham dan dimanfaatkan sebaik mungkin.
Artikel berkaitan
Festival Muallim UPSI kukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat
Manfaatkan duit raya anak-anak dengan 5 tabung simpanan pendidikan