Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi, begitulah peribahasa yang sesuai digambarkan pada atlet sukan catur, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Kajang, Selangor, Nur Batrisya Wafa Mohsen.
Ini kerana, Nur Batrisya atau lebih mesra disapa Batrisya dikatakan mewarisi bakat kedua orang tuanya yang aktif bermain sepak takraw, hoki dan bola keranjang.
Biarpun baru menginjak usia 17 tahun, gadis ini berjaya merangkul banyak anugerah dalam permainan tertutup (indoor) itu sejak berusia 10 tahun.
Ia terbukti apabila Batrisya terpilih sebanyak tujuh kali untuk bermain dengan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD); enam kali, Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) dan sekali untuk Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Ini belum termasuk perlawanan terbuka yang disertainya secara persendirian di peringkat antarabangsa.
Seperti yang terpampang di media sebelum ini, nama Batrisya mula mendapat perhatian selepas dia berpeluang menunjukkan kemahirannya bersama veteran-veteran catur pada Kejohanan Catur Terbuka Prague 2022 di Republik Czech.
Menurutnya, semasa berada di Tahun Lima, dia terkejut apabila diumumkan mendapat tempat kelima dalam pertandingan catur walaupun tidak pernah bermain sebelum ini.
"Pada mulanya, saya tidak berminat langsung sukan catur ini dan masuk pertandingan sekadar untuk menemani kawan.
"Saya belajar bermain catur pun hanya melalui manual di belakang kotak yang menunjukkan cara pergerakan sahaja selain bermain catur di komputer semasa kecil.
"Semasa Tahun Lima, cikgu mula memperkenalkan saya dengan jurulatih-jurulatih catur sekolah dan sejak itulah sekolah kami mula dikenali dalam permainan catur,” kata anak sulung daripada lima adik beradik itu.
Pengerusi catur sekolah
Ketika Batrisya melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh, Negeri Sembilan, dia tetap meneruskan kemahirannya bermain catur.
Berjaya menjadi johan ketika mewakili MSSD Gemencheh semasa berusia 13 tahun, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berjaya menduduki tangga ke-9 di peringkat MSSN.
Bercerita lebih lanjut mengenai pembabitannya di dalam sukan catur, Batrisya memberitahu, bakatnya dikesan oleh seorang guru dan waktu itu tidak ramai pelajar berminat menyertai sukan tersebut.
Disebabkan itu, dia telah diminta untuk membuat ‘coaching’ bagi membesarkan lagi kelab catur MRSM Gemencheh.
Walaupun kini Batrisya telah berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Kajang, Selangor, dia tetap memilih catur sebagai aktiviti kokurikulum.
"Saya berpindah ke SMK Convent Kajang, Selangor ketika berada di Tingkatan Dua dan waktu itu saya tidak tahu ada kelab catur, jadi saya telah memilih bola jaring sebab ingin mencukupkan kuota.
"Apabila berada di Tingkatan Tiga, barulah saya berpeluang untuk memilih permainan dalaman seperti catur, scrabble, sahiba dan sudoku,” ujarnya.
Ternyata anak gadis ini seorang pelajar yang berbakat kerana selain catur, Batrisya turut mewakili sekolah dalam sahibba dan scrabble.
Disebabkan itu juga, dia telah dilantik sebagai pengerusi permainan dalaman bermula Mac lalu.
Bina kemahiran
Sepanjang tujuh tahun berkecimpung dalam permainan dalaman itu, Batrisya memberitahu banyak perubahan yang telah berlaku pada dirinya.
"Sebelum ini saya mempunyai masalah berkaitan kemahiran bersosial dan disebabkan inilah saya ‘keseorangan’, tiada kawan.
"Apabila ibu mula menghantar saya menyertai banyak pertandingan catur ternyata ia berjaya mengubah diri ini dan hari ini saya mempunyai lebih ramai kawan.
"Sekarang cara saya berfikir pun dilihat telah berkembang berbanding dahulu kerana apabila menyertai kejohanan, ia membuatkan kita perlu buat banyak perkara dan secara tidak langsung menjadikan fikiran lebih matang,” tuturnya yang kini pandai menguruskan masanya sendiri.
Sambungnya lagi, sukan catur menuntut seseorang itu pandai menguruskan masa dan pastinya ia secara tidak langsung akan memberi kesan dalam kehidupan harian.
Begitupun pada awalnya dia berdepan cabaran untuk membiasakan diri dengan senario baharu di mana segala-galanya perlu dilakukan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
"Alhamdulillah hari ini saya berjaya mengatasi segala masalah yang sebelum ini dan ini dilihat satu perubahan besar dalam kehidupan harian.
"Dan walaupun saya bermula agak lambat dalam sukan catur ini, tetapi segala-galanya dipermudahkan dan dan akhirnya inilah saya hari ini,” katanya mengakhiri bicara.
**
Profil
Nama penuh: Nur Batrisya Wafa Mohsen
Hobi: Membaca dan bermain catur
Cita-cita: Pakar psikologi
Pendidikan:
1. Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian 2, Kajang, Selangor (Tahun Satu hingga Tahun Enam)
2. MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan (Tingkatan Satu hingga Tingkatan Dua)
3. SMK Convent Kajang, Selangor (Tingkatan Dua hingga kini)
Senarai kejayaan
1. Best Female Player GACC X EMPRO Chess Championship 2022
2. 1st Best Lady - 25th Grand Asian Chess Championship 2022
3. Prague Open Chess Championship 2022
4. Marienbad Open Chess Championship 2022
5. Pingat gangsa (Berpasukan) Eastern Asian Youth Chess Championship 2021
6. Johan Pertandingan Sukan Catur (Dalam Talian) MSSD Hulu Langat 2021
7. Johan Perempuan (Individu) Kejohanan Catur Menengah dan Rendah MSSD Hulu Langat 2020
8. Johan Perempuan (Berpasukan) Kejohanan Catur Menengah dan Rendah MSSD Hulu Langat 2020
9. Naib Johan (Berpasukan) Kejohanan Catur MSSS 2019
10. Kejohanan Catur Piala Timbalan Perdana Menteri Malaysia 2019
11. Kejohanan Catur Piala YB Rusnah Aluai Peringkat Kebangsaan 2018
Artikel berkaitan
17 tip wajib tahu jika anda hendak mula bermain catur
Rifqah dan Munajjah unggul dalam sukan catur, pasangan adik beradik aktif catur sejak dari kecil