Keputusan STPM 2021 catat peningkatan 0.01 mata berbanding tahun sebelumnya

Iklan
PIX UKM MPM

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 mencatat keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.79, peningkatan 0.01 mata berbanding tahun sebelumnya dengan 2.78.

Iklan
Iklan

Menurut Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, 2.14 peratus atau 874 calon memperoleh PNGK 4.0.

Iklan

Beliau berkata, daripada jumlah itu juga 66.82 peratus atau 584 calon terdiri daripada golongan B40.

Iklan

"Bilangan calon yang mendapatkan PNGK 4.00 ini meningkat sebanyak 133 calon, iaitu daripada 741 calon pada tahun 2020 kepada 874 calon, tahun 2021.

"Dari segi pencapaian PNGK calon secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon STPM 2021 pada PNGK 3.75 dan ke atas (9.04 peratus), PNGK 3.00 dan ke atas (41.72 peratus), PNGK 2.75 dan ke atas (55.85 peratus) dan PNGK 2.00 dan ke atas (88.24 peratus) adalah meningkat berbanding tahun 2020.

"Dengan peningkatan peratusan calon pada PNGK itu, tiada halangan lebih ramai calon lepasan STPM 2021 diterima masuk ke universiti awam pada tahun ini," ujarnya ketika mengumumkan keputusan STPM 2021 di MPM.

Turut hadir Ketua Eksekutif MPM, Adnan Hussin.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Ekhwan berkata, seramai 42,369 calon mendaftar menduduki STPM 2021 dengan 40,926 (96.59 peratus) daripadanya hadir, namun jumlah itu menurun berbanding 44,704 dalam STPM 2020.

Selain itu, Dr Mohd Ekhwan memaklumkan bahawa bilangan calon mendapat 5A dalam lima mata pelajaran diambil bertambah daripada 23 calon pada 2020 kepada 36 calon (2021).

"Pertambahan ini adalah sebanyak 13 calon atau 56.52 peratus berbanding tahun sebelumnya dan daripada 36 calon yang mendapat 5A ini, 21 daripadanya adalah kategori B40," ujarnya.

Dr Mohd Ekhwan turut menyatakan buat pertama kalinya tiada jurang pencapaian antara calon bandar dengan luar bandar bagi PNGK keseluruhan sejak 2013.

Ujarnya lagi, PNGK bagi calon luar bandar dan bandar pada STPM 2021 ialah 2.79.

Selain itu, Dr Mohd Ekhwan turut memaklumkan bahawa prestasi keseluruhan bagi kesemua mata pelajaran ditawarkan dalam STPM 2021 mencatat lulus penuh melebihi 70 peratus, iaitu gred C ke atas.

"Dalam STPM 2021, satu mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi tiga peratus dari segi prestasi lulus penuh berbanding 2020, iaitu bahasa Cina.

"Bagaimanapun, satu mata pelajaran menunjukkan penurunan melebihi negatif tiga peratus dari segi prestasi lulus penuh berbanding 2020, iaitu Matematik Pengurusan.

"Bagi 21 mata pelajaran STPM lain pula tidak berubah prestasi kerana beza peratusan calon lulus penuh antara 2020 dan 2021 adalah kurang daripada tiga peratus," katanya.

Artikel berkaitan

Calon SPM, STPM teruja ikuti motivasi ‘jarak jauh’ bersama siswa USIM

STPM jalan pintas ke peringkat ijazah

Rahsia tersembunyi pelajar cemerlang, berikut 9 perkara dikongsi mereka


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok