Projek Taman Bunga dan Herba yang dilaksanakan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Riverside, Kuala Selangor, Selangor, berjaya menyumbang ke arah kemenjadian murid-murid.
Projek tersebut yang merupakan salah satu inisiatif bagi menceriakan persekitaran sekolah di samping memupuk sifat prihatin terhadap alam sekitar dalam kalangan murid-murid.
Selain itu, projek ini juga dilihat mampu mendidik murid-murid tentang jenis-jenis herba dan kelebihan menanam, menyiram dan menjaga tanaman bunga.
[caption id="attachment_44660" width="600"] Antara sebahagian tanaman di Taman Bunga dan Herba SJKT Ladang Riverside.[/caption]
Dalam masa yang sama, SJKT Ladang Riverside turut menjalankan projek Pendidikan Jasmani ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang merangkumi senaman fizikal seperti lompat bintang dan ‘sit-up’.
Dalam projek tersebut, murid-murid dikehendaki melakukan aktiviti fizikal di rumah masing-masing mengikut masa yang diberikan.
Selain itu, meskipun terpaksa menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), sekolah ini tetap giat melakukan program-program kurikulum seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Seni Visual.
Kesemua program ini adalah sebahagian usaha SJKT Ladang Riverside untuk memastikan proses pembelajaran yang diadakan dapat dilakukan dengan berkesan.
Ia juga sekali gus menjadi tumpuan utama penyertaan sekolah ini dalam Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB), Sinar Harian.
Tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi, SJKT Ladang Riverside telah memanfaatkan penggunaan YouTube dan Google Meet bagi menjalankan kesemua program yang dijalankan.
Diharapkan warga SJKT Ladang Riverside meneruskan usaha murni dalam pembangunan insaniah murid-murid dan seterusnya melakar kejayaan dalam pelbagai bidang.
Artikel berkaitan
Unit beruniform tunjang kejayaan SMK Taman Maluri dalam bidang kokurikulum
Program Sekolah Hijau SJKC Pulau Betong tingkatkan kesedaran terhadap alam sekitar
Program Sekolah Lestari SK LKTP Felda Ulu Penggeli didik nilai prihatin terhadap alam sekitar