31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat negara mencapai kemerdekaan serta bebas daripada penjajah dan ia antara nikmat serta kejayaan terbesar pejuang tanah air yang perlu dipertahankan setiap kelompok masyarakat.
Generasi muda hari ini khususnya pelajar sekolah harus mengambil iktibar berdasarkan pengalaman para pejuang kemerdekaan pada masa lalu. Mereka telah mempertaruhkan jiwa raga sehingga ada yang terkorban.
Untuk memahami dengan lebih mendalam erti kemerdekaan, minggu ini, Sinar Bestari telah menghubungi Ketua Panitia Sejarah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah, Sarawak, Meriah Man, 36, untuk berkongsi kronologi kemerdekaan negara kepada pembaca.
Menurutnya, kepayahan, kesengsaraan dan kegigihan pejuang kemerdekaan menentang penjajah tidak harus dipandang remeh.
"Saya sentiasa mengingatkan pelajar-pelajar supaya menghargai dan mengenang jasa pahlawan negara ini dengan memelihara keamanan dan kesejahteraan yang sedia ada bersama.
"Jadi penting bagi generasi muda ini untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin agar negara mampu melahirkan ramai pakar dalam pelbagai bidang, jadi secara tidak langsung kurang kebergantungan kita terhadap kepakaran asing.
"Jangan mudah berputus asa dan menyerah kalah ketika menimba ilmu kerana kejayaan itu sememangnya tidak datang bergolek,” katanya.
Tambahnya, bagi mengelakkan sejarah hitam berulang kembali, semua rakyat wajar berganding bahu untuk mengekalkan kedaulatan negara.
Ulasnya lagi, erti kemerdekaan sebenar mestilah dihayati agar semangat cintakan tanah air tidak mudah luntur dalam jiwa masing-masing.
Sehubungan itu, Cikgu Meriah berkongsi lapan kronologi kemerdekaan negara yang patut dihayati semua rakyat Malaysia.
**
Pilihan Raya Persekutuan 1955
PILIHAN raya umum pertama Persekutuan Tanah Melayu 1955 telah dilaksanakan pada 27 Julai 1955 setelah persetujuan dicapai antara pihak British dan Parti Perikatan yang diwakili oleh Tunku Abdul Rahman berkenaan dengan bilangan ahli Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) yang perlu dilantik dan melibatkan 52 orang sahaja. Pengundi berdaftar menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat yang akan menyampaikan suara hati masyarakat dalam kerajaan.
Kabinet pertama ditubuhkan
Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan yang pertama dan berkuasa menubuhkan kabinet pertama bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan lancar. Kabinet pertama ini dibarisi 10 orang menteri dan turut dianggotai tiga orang pegawai British yang memegang portfolio Setiausaha Kewangan, Setiausaha Hal Ehwal Ekonomi dan Setiausaha Pertahanan.
Rundingan kemerdekaan di London
TUNKU Abdul Rahman yang mewakili Parti Perikatan bersetuju mengadakan perbincangan secara rasmi dengan British di London dan turut disertai oleh Tun Dr Ismail, Tun H.S. Lee dan Tun Abdul Razak serta wakil Raja-Raja Melayu iaitu Datuk Panglima Bukit Gantang, Abdul Aziz Othman; Datuk Mohd Seth dan Datuk Nik Ahmed Kamil. Mereka berangkat dari Kuala Lumpur ke Singapura dengan kapal terbang, kemudian menaiki kapal laut, M.V. Asia. Rombongan ini singgah di Karachi, Pakistan, seterusnya menaiki kapal terbang ke London dan tiba di sana pada 14 Januari 1956. Rundingan kemerdekaan tersebut berlangsung dari 18 Januari hingga 6 Februari 1956.
Perjanjian Merdeka
MISI rundingan ini berjaya mendapat persetujuan kerajaan British untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu melalui perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu atau Perjanjian London yang telah ditandatangani pada 8 Februari 1956. Antara perkara penting yang dipersetujui di dalam rundingan tersebut ialah tarikh kemerdekaan ditetapkan tidak lewat dari 31 Ogos 1957 dan satu perjanjian dengan British akan ditandatangani bagi menjaga keselamatan Tanah Melayu serta menjaga kepentingan British di Tanah Melayu. Dalam rundingan ini juga, kedua-dua pihak bersetuju untuk membentuk Suruhanjaya Perlembagaan yang berfungsi merangka perlembagaan negara yang merdeka.
Pengumuman tarikh kemerdekaan
PADA 20 Februari 1956, kepulangan rombongan dari London disambut dengan meriah seluruh penduduk Tanah Melayu ketika tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka. Tunku Abdul Rahman kemudiannya telah mengumumkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu yang menurut Perjanjian Kemerdekaan akan diberikan pada 31 Ogos 1957. Serentak dengan pengumuman itu, rakyat yang membanjiri padang Bandar Hilir, Melaka melaungkan ‘Merdeka’ dengan gemuruh dan penuh semangat.
Suruhanjaya Reid
SUSULAN kejayaan rundingan kemerdekaan di London pada 8 Mac 1956 sebuah Suruhanjaya Reid atau Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Draf Suruhanjaya Reid telah diluluskan oleh Parlimen British di London dan disusuli oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 27 Ogos 1957.
Bendera Union Jack diturunkan
LAMPU dipasang sejurus jam besar menunjukkan detik 12 tengah malam dan diikuti dengan laungan ‘Merdeka’ oleh orang ramai. Kemudian, Tunku Abdul Rahman dibawa ke hadapan pentas menghadap ketiga-tiga tiang bendera. Seterusnya, bendera Union Jack diturunkan oleh Tahir Abdul Majid dengan diiringi lagu ‘God Save The Queen’ sebagai tanda berakhirnya pentadbiran British di Tanah Melayu.
Pengisytiharan merdeka di Kuala Lumpur
PAGI 31 Ogos 1957, bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, upacara sambutan kemerdekaan diadakan dengan penuh gemilang. Pengisytiharan itu disambut dengan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan lagu kebangsaan, Negaraku.
Artikel berkaitan
7 tip hayati kemerdekaan cara Ustaz Quszaini
Warga UTeM diseru hayati erti dan tema kemerdekaan ke-65
HADARI UPSI anjur sambutan bulan kemerdekaan secara maya