Seorang guru yang dikategorikan cemerlang dalam bidang kepakarannya dilihat mampu membantu sekolah, rakan-rakan pendidik dan murid-murid dalam mencapai kecemerlangan yang luar biasa sepanjang masa.
Ini diakui sendiri oleh Guru Cemerlang, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Pokok Sena, Kedah, Dr Abdul Ghani Jalil kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.
Katanya, guru-guru yang cemerlang mampu membawa pelbagai perubahan positif dalam sekolah berkenaan.
Malah, bermacam-macam anugerah dan kejayaan akan diperoleh oleh sekolah tersebut jika memiliki ramai cikgu kategori cemerlang ini.
Sambungnya lagi, ada enam ciri dalam mengenal pasti guru-guru yang berkenaan.
Ciri-ciri tersebut adalah seperti yang dikongsi di bawah ini. Jom semak!
1) Peribadi
Guru yang cemerlang ialah guru yang mempunyai sahsiah yang terpuji, berketerampilan, patuh kepada etika perguruan dan etika perkhidmatan awam, peka serta prihatin terhadap keperluan murid hingga dapat menjadi suri teladan kepada warga pendidik yang lain.
2) Pengetahuan dan kemahiran
Guru yang menguasai dan menghayati kandungan mata pelajaran atau bidang pengkhususan dan kepakarannya menjadi pakar rujuk pembelajaran dan pemudahcaraan (PdP).
Seterusnya, guru yang cemerlang juga seorang yang bijak mengurus masa, bahan sumber, bahan bantu mengajar, mampu mengenal pasti keperluan dan masalah pembelajaran murid serta menyediakan program tindakan susulan, berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
3) Hasil kerja
Guru yang cemerlang ialah guru yang berupaya meningkatkan hasil pembelajaran ke arah membangunkan potensi murid selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
4) Komunikasi
Guru yang memiliki kemahiran komunikasi yang tinggi dan berkemampuan menyampaikan idea serta mesej dengan berkesan dalam pelbagai situasi.
5) Potensi
Guru yang berwawasan tinggi, proaktif, mempunyai inisiatif, bersifat responsif dan inovatif dalam rangka menjalankan tugas sebagai pendidik.
6) Sumbangan
Guru yang berupaya menjana idea baharu dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan masing-masing dan meningkatkan mutu pendidikan negara.
Artikel berkaitan
SK Bandar Anggerik miliki guru cemerlang, murid aktif dalam akademik dan kokurikulum
Guru Cemerlang kongsi apa yang perlu dikuasai cikgu sebelum menyediakan soalan ujian/peperiksaan