Hasrat Guru Cemerlang jumpa Tun Mahathir tercapai, guna peluang kongsi cerita tentang dunia pendidikan
Hasrat Guru Cemerlang jumpa Tun Mahathir tercapai, guna peluang kongsi cerita tentang dunia pendidikan

Hasrat Guru Cemerlang jumpa Tun Mahathir tercapai, guna peluang kongsi cerita tentang dunia pendidikan

Roshlawaty Md Raieh
25 May 2022 04:57pm
A
A
A

Peluang bertemu dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah digunakan dengan sebaik mungkin oleh Guru Cemerlang Sejarah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor, Selangor, Cikgu Mohd Zulhelmi Mansor.

Kata guru ini, pelbagai nasihat dan kata-kata semangat telah diberikan oleh Tun Mahathir kepadanya dan segala perkongsian itu dicatat dengan baik oleh Cikgu Mohd Zulhelmi dalam sebuah buku.

Tambah beliau, Tun Mahathir seorang yang senang didekati, peramah dan sangat bijak orangnya.

“Bait-bait kata tokoh terkemuka ini sangat tersusun ketika berbicara. Tidak cukup rasanya masa yang diberikan untuk pertemuan ini. Jika boleh, saya mahu berjumpa lagi dengan beliau,” kata Cikgu Mohd Zulhelmi.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan perjumpaan antara Guru Cemerlang ini dengan Tun Mahathir, Sinar Bestari kongsikan sedikit catatan yang ditulis sendiri oleh guru muda tersebut.

Jom ikuti kisah manis beliau bersama tokoh hebat Malaysia.

***

“Kembali kepada al-Quran.”

Inilah kata-kata akhir yang diungkapkan oleh Tun Mahathir ketika saya bertemu dengan beliau pada 10/5/2022 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Bermula dengan nada perasaan rendah diri oleh seorang yang dianggap Negarawan, Tun Mahathir memulakan bicara dengan menyatakan bahawa dirinya bukanlah seorang yang arif tentang agama tetapi beliau mendapat didikan agama daripada ibu yang tercinta.

Awal-awal lagi saya sudah tertarik dengan kenyataan ini hingga membuatkan saya terlintas dengan satu hadis sebagaimana jawapan yang disampaikan Rasulullah SAW saat ada salah seorang sahabat bertanya kepadanya.

“Wahai Rasulullah, kepada siapakah seharusnya aku harus berbakti pertama kali?”

Nabi memberikan jawapan dengan ucapan “Ibumu” sampai diulangi tiga kali, baru kemudian yang keempat Nabi mengatakan “Ayahmu” (HR Bukhari dan Muslim).

Seorang negarawan yang tidak pernah melupai hasil didikan seorang ibu dan memuliakan ibunya adalah rahsia kejayaan di dunia dan akhirat.

Ingin saya kongsikan yang Tun Mahathir mula membaca al-Quran dalam bahasa Arab tetapi tidak memahami kandungan kalam ALLAH tersebut.

Justeru, beliau membaca al-Quran dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk memahami kandungannya. Apa yang diperolehi daripada pembacaan dalam al-Quran didapati banyak nilai-nilai Islam yang menganjurkan perkara baik.

Tun Mahathir menegaskan nilai yang terbaik ialah nilai-nilai Islam yang menganjurkan banyak perkara baik namun masih ramai tidak mengamalkannya.

Contohnya kepentingan membaca yang merupakan surah pertama yang diturunkan dalam al-Quran iaitu Surah Al-Alaq.

Kita orang Islam, yang kita selalu mengulangi bahawa wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW yang pertama ialah iqra’. Dan iqra’ diterjemahkan kepada “bacalah”.

Pada sesi pertemuan hampir 45 minit itu, saya turut diberi peluang untuk berkongsi sedikit kejayaan berkaitan pasukan Master-H ECS SMKA Kuala Selangor. Master-H ECS yang terdiri guru dan pelajar telah berjaya mewakili negara pada pertandingan inovasi antarabangsa iaitu British Invention Show & Technology (BIS) 2023.

BIS adalah pertandingan pameran perdagangan unik yang mempamerkan pelbagai ciptaan produk baharu dan penemuan inovasi terbaru yang terbesar di dunia serta mengumpulkan para perekacipta dari seluruh dunia.

BIS juga turut menawarkan beberapa seminar dan kertas kerja yang memberi tumpuan kepada dunia korporat seperti kajian ke atas pembangunan perniagaan, paten harta intelek, hubungan perniagaan dengan media, prototaip produk, pembuatan dan sebagainya.

Kejayaan Master-H ECS yang berjaya menyertai BIS adalah lanjutan daripada kejayaan pasukan itu dalam pertandingan International Trade Fair, Ideas Inventions New Products (IENA) kali ke-71 (1948-2019) yang berlangsung 31 Oktober hingga 3 November 2019 yang lalu.

Pasukan Master-H ECS berjaya merangkul pingat emas dan projek khas terbaik kategori “Young Inventors” di IENA yang merupakan antara pameran inovasi tertua di dunia.

Yang terakhir, Tun Mahathir melahirkan rasa kagum beliau terhadap Master-H ECS dan mendoakan agar pasukan tersebut terus mencipta kejayaan pada masa akan datang.

Artikel berkaitan

3 rahsia yang patut anda tahu semasa bermain alat muzik

Mek Yun 'Mek Kelate' raih 2 anugerah terbaik universiti! Ini rahsia yang dikongsi beliau

4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan