Sejak kebelakangan ini, ramai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) meluahkan kekecewaan masing-masing apabila sukar mendapatkan penempatan sama ada di kolej kediaman mahupun rumah sewa.
Para pelajar ini memerlukan tempat tinggal bagi mengikuti semester baharu yang bakal bermula tidak lama lagi.
Masalah ini berlaku kerana kolej kediaman yang disediakan pihak universiti amat terhad dan tidak mampu untuk menampung semua bilangan pelajar yang ada manakala rumah sewa pula perlukan pembayaran deposit dan sewa bulanan yang tinggi.
Hakikatnya, ramai pelajar yang ingin tinggal di kolej kediaman atas beberapa faktor antaranya kos yang lebih rendah berbanding menyewa di luar, keselamatan yang lebih terjamin dan memudahkan urusan perbincangan kumpulan sesama rakan sekelas.
Tidak hairanlah sekiranya pelajar perlu bersaing sesama mereka untuk mendapatkan tempat di kolej kediaman.
Sehubungan itu, Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi dengan para pelajar mengenai empat tip mudah yang boleh dicuba bagi meningkatkan peluang untuk mendapat tempat di kolej kediaman.
Jom ikuti perkongsian ini.
1. Hadir pada setiap perjumpaan kolej
Pada semester pertama, kebanyakan pelajar diwajibkan untuk duduk di kolej kediaman yang disediakan. Jika anda ingin memastikan peluang untuk terus mendapat penempatan di kolej kediaman pada semester akan, hadirkan diri pada setiap perjumpaan yang ada seperti perjumpaan blok atau aras. Kebiasaannya perjumpaan ini adalah wajib dan dalam setiap perjumpaan akan diberikan kupon. Kupon inilah yang perlu dikumpul bagi meningkatkan peluang untuk mendapat tempat di kolej kediaman pada semester akan datang.
2. Libatkan diri dengan aktiviti kolej
Pada setiap semester, kolej akan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk para pelajar contohnya Malam Kesenian atau Festival Kolej. Amat digalakkan sekiranya anda mengambil inisiatif untuk libatkan diri di dalam program yang dijalankan sama ada sebagai sukarelawan, peserta mahupun penonton. Selain mendapat penempatan kolej kediaman, ia juga membantu dalam memberi nilai tambah serta mengeratkan lagi hubungan sesama pelajar.
3. Sertai organisasi kolej
Sekiranya anda tidak berpeluang untuk menyertai atau memegang jawatan organisasi di sekolah, inilah masa yang sesuai. Tidak dinafikan, apabila sudah memegang sesuatu jawatan, tanggungjawab juga akan bertambah. Namun, inilah yang diterapkan dalam sistem pendidikan di universiti yang melatih diri untuk menjadi seorang pemimpin. Tanggungjawab ini juga akan dilakukan bersama-sama Jawatankuasa Perwakilian Kolej (JPK) yang lain dan secara tidak langsung meningkatkan kemahiran komunikasi dan kerjasama dalam satu pasukan.
4. Patuhi peraturan dan tatatertib kolej
Terakhir ialah mematuhi segala peraturan dan tatatertib yang ditetapkan. Segala kegiatan pengumpulan kupon aktiviti kolej akan menjadi sia-sia sekiranya anda didapati melanggar mana-mana peraturan dan dikenakan tindakan. Pihak kolej juga tidak akan teragak-agak membuang anda dari kolej yang mana akan menjejaskan prestasi akademik anda.
Semoga perkongsian ringkas ini sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar untuk mendapat tempat di kolej kediaman. Semoga berjaya!
Artikel berkaitan
KPT perkasakan inisiatif Rumah Siswa, platform pemudah cara pelajar dapatkan tempat kediaman
CEDS hasilkan We-SET, bantu lepasan SPM pilih program diploma di UTHM
Platform pembelajaran digital, sedia pelbagai sumber rujukan untuk pelajar ulang kaji