Sebanyak sembilan pingat emas diraih Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Bachok, baru-baru ini.
UPM meraihnya menerusi inovasi daripada barisan penyelidik dan pensyarah universiti tersebut yang terdiri daripada Profesor Ts Dr Mohamed Thariq Hameed Sultan, Profesor Ts Dr Hidayah Arifin, Profesor Madya Dr Ina Salwany Md Yasin, Profesor Madya Dr Nurulfiza Mat Isa dan Profesor Madya Dr Nazlina Shaari.
Tidak ketinggalan, Profesor Madya Dr Norhashila Hashim, Ts Dr Norhayu Asib, ChM Dr Siti Efliza Ashari dan Dr Ahmad Haniff Jaafar.
Menurut Pengarah Putra Science Park (PSP), UPM, Profesor Ir Dr Kamarul Arifin Ahmad, UPM berjaya mengekalkan sekali lagi kecemerlangannya dengan merekodkan kemenangan membanggakan.
"PSP UPM selaku Pusat Pemindahan Teknologi yang menguruskan harta intelek UPM kekal komited dalam membina jaringan bersama pemain industri dan komuniti bagi memastikan hasil penyelidikan negara dapat dikongsi bukan hanya di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikirimkan kepada Sinar Bestari.
PECIPTA 2022 yang bertemakan Innovation, Creativity, Technology, Entrepreneurship and Society adalah acara dwitahunan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Ia bertujuan mengumpulkan barisan penyelidik dari pelbagai kategori penyertaan.
PECIPTA 2022 menerima lebih 433 penyertaan yang terdiri daripada pelbagai sektor korporat, sekolah, IPTA dan IPT Swasta.
Lebih 80 peratus inovasi yang dipertandingkan di PECIPTA 2022 bersedia untuk dikomersilkan kepada pihak industri.
INFO
Senarai inovasi yang dihasilkan UPM
1) Pensyarah Fakulti Kejuruteraan, Dr Mohamed Thariq menghasilkan inovasi Blade for Pineapple Leaf Fiber Extractor Machine iaitu inovasi mesin yang menjimatkan tempoh penghasilan fiber nenas dan membantu meningkatkan kualiti yang tinggi. Dengan teknologi ini, ia mampu mengurangkan sisa tanaman nanas menjadi suatu inovasi baharu menggunakan konsep ‘from waste to wealth’.
2) Pensyarah Fakulti Bioteknologi dan Biomolekul Sains, Dr Hidayah membangunkan inovasi Nanocellulose: A versatile Nanoadditive yang menggunakan biojisim kelapa sawit dengan mutu keberkesanan efektif. Ia sesuai digunakan sebagai bahan penambah dalam pelbagai industri seperti plastik, bahan komposit, makanan, kosmetik dan farmaseutikal bagi meningkatkan ciri-ciri produk yang dihasilkan.
3) Penyelidik Institut Biosains, Dr Ina Salwany pula membangunkan inovasi VIVAC UPM: Aquafeed Vaccine Against Vibriosis in Marine Fishes. Vaksin ini untuk hidupan ikan laut dan diberikan sebagai makanan untuk meningkatkan imuniti bagi melawan penyakit vibriosis.
4) Dr Nurulfiza yang juga penyelidik Institut Biosains telah membangunkan inovasi Crisprvac CFUPMT27 A Fowl Adenovirus Vaccine. Inovasi ini mengandungi ciri khas kepada jujukan genotik (kawasan poros protein serat). Inovasi vaksin taratenuat memberi manfaat kerana dapat mengurangkan kos dan tempoh masa penghasilan dan berupaya merangsang keputusan titer antibodi yang tinggi terhadap jangkitan adenovirus unggas yang dapat membantu melindungi dari penyakit Inclusion Body Hepatitis (IBH).
5) Pensyarah Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, Dr Nazlina mencipta inovasi Adaptive Wear. Pakaian kesihatan ini menfokuskan kepada pesakit warga emas dan kurang upaya. Ia mengetengahkan potongan pakaian yang direka khas, selesa dan sopan untuk dipakai golongan berkaitan.
6) Pensyarah Fakulti Kejuruteraan, Dr Norhashila dengan inovasinya, Pengesan Pintar untuk Kualiti Buah. Melalui integrasi kecerdasan buatan, maklumat berguna tentang kematangan dan kualiti buah boleh dianalisis dan diramalkan dengan pantas dan tepat. Ia menawarkan penilaian tidak merosakkan buah dengan pantas dan bermanfaat kepada pengeluar hasil segar dan industri pertanian.
7) Pensyarah Fakulti Pertanian, Dr Norhayu telah menghasilkan inovasi Milagro Matado, racun serangga yang dibangunkan menggunakan komposisi organik yang terbukti berkesan dan efektif di samping menjimatkan kos dengan hanya penggunaan yang sedikit. Inovasi ini ternyata memberi penjimatan kepada pihak industri selain mengekalkan kualiti racun serangga yang mesra alam dan tidak membahayakan.
8) Pensyarah Fakulti Sains, Dr Siti Efliza menghasilkan inovasi BioEsst Kojic Serum ini diformulasikan dengan kepekatan OLeate 10 peratus yang membantu mendapatkan kulit yang sihat berseri, bebas jeragat dan parut jerawat. Serum ini menggunakan teknologi nanoemulsi untuk menghasilkan kualiti serum yang mudah diserap ke dalam lapisan kulit dan memberi perlindungan bagi melawan penghasilan melanin berlebihan.
9) Pensyarah Fakulti Teknologi Sains Makanan, Dr Ahmad Haniff menerusi inovasi Cosmos Caudatus iaitu serbuk ulam raja yang terkenal bagi mengatasi masalah diabetes. Inovasi ini direka dengan cara yang mudah dalam bentuk serbuk supaya ia boleh digabungkan ke dalam pelbagai jenis makanan pada bila-bila masa.
Artikel berkaitan
ECS 4 pelajar Malaysia bawa tuah! Raih pingat emas pertandingan inovasi di Jerman
Penyelidik UPM terima Pingat Saintis Muda Polar
Penyelidik UPM guna teknologi retort bagi inovasi sos labu