Inovasi ECS 4 pelajar Malaysia bawa tuah! Raih pingat emas pertandingan inovasi di Jerman
Inovasi ECS 4 pelajar Malaysia bawa tuah! Raih pingat emas pertandingan inovasi di Jerman

ECS 4 pelajar Malaysia bawa tuah! Raih pingat emas pertandingan inovasi di Jerman

Roshlawaty Md Raieh
31 Oct 2022 04:41pm
A
A
A

Produk inovasi Set Pembelajaran (ECS) Eksplorasi Cabaran Sejarah Dunia yang dihasilkan kumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor, Selangor membawa tuah kepada mereka apabila meraih anugerah menerusi Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (IENA) 2022 di Nuremberg, Jerman pada Sabtu.

Inovasi ECS itu telah merangkul pingat emas dan Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg.

ECS yang dihasilkan empat pelajar terdiri daripada Athirah Ahmad Hisshamuddin, 17; Raja Dhia Nazneen Insyirah Raja Mohd Aman Shah; Nur Damia Bisyara Muhammad Imran dan Sarah Ardinie Khairul Faizi, masing-masing berusia 16 tahun telah menewaskan 490 pasukan dari 250 sekolah di seluruh dunia sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

IENA adalah pameran inovasi tertua di dunia yang dipertandingkan sejak lebih 70 tahun.

Ia diadakan bersempena pameran perdagangan yang mengetengahkan pelbagai ciptaan dan inovasi baharu.

Sementara itu, berkongsi kejayaan luar biasa tersebut, Sinar Bestari menghubungi dua guru pembimbing mereka iaitu Guru Cemerlang Sejarah, Cikgu Mohd Zulhelmi Mansor dan Cikgu Mohd Ridzuan Mohammad menerusi aplikasi WhatsApp pagi tadi.

ECS merangkul pingat emas dan Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg.

Difahamkan, rombongan SMKA Kuala Selangor ini masih lagi berada di Jerman dan akan pulang ke Malaysia pada 4 November ini.

Kepada Sinar Bestari, Cikgu Mohd Zulhelmi berkata, kejayaan empat pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai pasukan Master- H ECS cukup membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

Malah, yang paling menggembirakan apabila pasukan ini berjaya mengulangi kejayaan senior mereka yang turut memenangi pingat emas dan Anugerah Produk Inovasi Terbaik pada 2019 di pertandingan sama.

Ujarnya, perjalanan menghasilkan inovasi ECS bukanlah semudah yang disangka. Banyak pengorbanan yang harus dilakukan sebelum terhasilnya ECS tersebut.

Cikgu Mohd Zulhelmi berkata, ECS yang merupakan set permainan direka khas untuk menarik minat semua golongan khususnya remaja menguasai pengetahuan am berkaitan sejarah ketamadunan dunia.

Set permainan ini juga merupakan satu gaya pembelajaran yang berasaskan prinsip-prinsip instruksional yang mempunyai sistem permainan yang ditetapkan dan berkonsepkan ‘Fun Learning Board Game’.

Inilah inovasi ECS yang dihasilkan oleh empat pelajar SMK Kuala Selangor.

Sambungnya lagi, idea penghasilan ECS tercetus melalui permainan Monopoli yang kemudian diterjemah kepada ECS memandangkan sejarah tamadun dunia mempunyai tempat warisan menarik untuk dipaparkan di atas papan permainan.

"Maka konsep bergambar dan rakaman peristiwa menarik ditonjolkan di atas papan permainan tersebut. Ini membolehkan interaksi dua hala dan menggalakkan perbincangan antara para pelajar yang bermain papan permainan ECS itu,” tuturnya.

Ditanya mengenai peruntukan dana rombongan sekolah ke Jerman, Cikgu Mohd Zulhelmi berkata, separuh dana tersebut menggunakan perbelanjaan daripada guru dan keluarga pelajar.

Sebahagian lagi, mereka berjaya mendapatkan penajaaan daripada sektor swasta seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa individu lain seperti sumbangan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan: Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Kami berharap, selepas ini akan ada beberapa sumbangan lain khususnya kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Tanjung Karang sebagai menghargai pencapaian anak-anak pelajar ini,” ujarnya.

Semoga pasukan ini akan terus cemerlang pada masa akan datang.

Mengakhiri sesi temu bual menerusi aplikasi WhatsApp, Cikgu Mohd Zulhelmi sangat berharap yang inovasi ECS dapat diterbitkan dan dijadikan pertandingan ko-akademik antara sekolah selain mampu dimiliki oleh setiap keluarga di negara ini.

“Jika semua keluarga memiliki ECS ini, sekurang-kurangnya mereka dapat menjadikan permainan tersebut sebagai aktiviti santai dalam mengisi masa lapang sekali gus melahirkan generasi warganegara global,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada kumpulan pelajar genius ini kerana berjaya membawa pulang anugerah tersebut.

Menerusi catatan dalam laman Facebooknya, Perdana Menteri berharap kejayaan pasukan sekolah itu akan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar lain untuk turut terbabit dalam inovasi dan reka cipta sehingga menggapai kejayaan.

Artikel berkaitan 

7 kriteria pemarkahan inovasi atau produk yang perlu guru ambil tahu. Penting!

Rahsia tersembunyi pelajar cemerlang, berikut 9 perkara dikongsi mereka

Inovasi e-Waze rangkul 3 anugerah di iCAN 2022


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok