Pendidikan awal mengenai teknologi dan seni mampu melancarkan pembelajaran di peringkat sekolah mahupun universiti.
Berbekalkan gabungan dua elemen berkenaan, ia menjadi antara inti pati penting dalam menjalani kehidupan seharian.
Terbaharu, gabungan teknologi dan seni menterjemahkan hasil karya menarik di atas padang apabila pengeluar barangan sukan antarabangsa, Adidas memperkenalkan bola rasmi Piala Dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Dikenali sebagai Al Rihla, bola itu didatangkan dengan teknologi terbaharu dan seni rekaan menarik mampu meningkatkan kualiti serta menyokong permainan pantas pada kejohanan tahun ini.
Sinar Bestari mendedahkan lima perkara menarik mengenai bola rasmi terbaharu Piala Dunia Qatar 2022.
1. Teknologi
Bola yang diberi nama Al Rihla ini merupakan perkataan Arab membawa maksud perjalanan (The Journey).
Al Rihla didatangkan dengan teknologi baharu dalam membantu mempermudahkan tugas para pengadil ketika perlawanan berlangsung.
Teknologi yang terdapat pada bola berkenaan akan disambung pada stadium untuk memberi amaran ofsaid pada masa nyata kepada pegawai perlawanan video menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Sistem offsaid separuh automatik itu diperkenalkan buat kali pertama pada Piala Dunia edisi kali ini di Qatar.
2. Seni
Merupakan bola ke-14 dibangunkan jenama Adidas untuk Piala Dunia FIFA. Seni rekaan pada bola berkenaan mendapat inspirasi daripada sentuhan budaya, gaya seni bina, bot ikonik dan bendera Qatar.
3. Bola terpantas
Al Rihla didakwa merupakan bola terpantas pernah dihasilkan dalam sejarah kejohanan Piala Dunia.
Ia dibangunkan untuk menyokong kelajuan permainan bola sepak moden dengan didatangkan dua ciri utama CRT-CORE dan SPEEDSHELL.
CRT-CORE bertindak memberi kelajuan, ketepatan dan konsistensi untuk permainan pantas di atas padang. Selain itu, ia juga memastikan ketepatan lantunan bola untuk memastikan para pemain dapat menunjukkan aksi terbaik.
SPEEDSHELL pula merupakan kulit sintetik PU didatangkan dengan bentuk panel 20 keping baharu dalam meningkatkan ketepatan rembatan dan kestabilan apabila berada di udara serta lencongan padu ketika rembatan.
4. Mesra alam
Al Rihla merupakan bola pertama Piala Dunia FIFA yang diperbuat secara eksklusif menggunakan dakwat dan gam berasaskan air.
Ia dikatakan bola paling mesra alam pernah dibangunkan untuk kejohanan berprestij tersebut.
5. Sumbangan
Sebanyak satu peratus daripada hasil jualan bersih bola Al Rihla akan disumbangkan kepada gerakan amal bola sepak, Common Goal.
Ia akan digunakan untuk memberi impak positif kepada masyarakat yang memerlukan di seluruh dunia.
Pada 2021, Adidas melancarkan perkongsian jangka panjang dengan Common Goal menjanjikan hasil penjualan bersih sebanyak satu peratus daripada semua produk bola jenama berkenaan dijual secara global disalurkan kepada gerakan amal itu.
Artikel berkaitan
Karnival Robotik dedah dunia teknologi digital
Pernah dicuri 2 kali, ini fakta menarik tentang trofi Piala Dunia
Baru 30-an, sumbangan Cikgu Tarmizi dalam bola sepak SK Bukit Mutiara membanggakan!