Karnival Robotik dedah dunia teknologi digital
Karnival Robotik dedah dunia teknologi digital

Karnival Robotik dedah dunia teknologi digital

Roshlawaty Md Raieh
19 Aug 2022 02:52pm
A
A
A

Karnival Robotik yang julung kali diadakan di Kompleks Beli-belah Evo Mall, Bangi, Selangor, baru-baru ini, mendapat sambutan baik apabila merekodkan seramai 630 peserta, termasuk kumpulan pelajar dari lima buah sekolah.

Karnival anjuran Akademi Robotik JAZRO (JAZRO) dengan kerjasama Evo Mall itu merupakan program kesedaran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk kanak-kanak yang berumur antara tujuh hingga 17 tahun, dalam memberi pendedahan tentang dunia teknologi berkaitan robotik.

Program selama dua hari itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi perkongsian STEM, permainan, cabutan bertuah dan bengkel yang mengajar kanak-kanak membina robot.

Selain itu, peserta dan pengunjung juga berpeluang menikmati pameran yang disediakan oleh D'Virtual Park, MDEC, MyTutor, PETROSAINS, Pickiddo dan Project Mika.

Pengasas bersama JAZRO, Ir Dzulfarqeish Zainuddin berkata, pihaknya mahu membawa kanak-kanak lebih dekat dengan teknologi digital melalui aktiviti-aktiviti penglibatan secara langsung.

“Kami jadikan proses pembelajaran sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan pendekatan ini berkesan terhadap kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam pertandingan, bengkel dan aktiviti lain semasa Karnival Robotik berlangsung.

“Jujurnya, kami teruja dengan sambutan positif yang diberikan,” katanya dalam kenyataan.

Sambung Dzulfarqeish lagi, pihaknya menyasarkan untuk menganjurkan acara sedemikian pada masa akan datang dalam usaha memupuk kesedaran yang lebih tinggi mengenai robotik terhadap kanak-kanak, termasuk mereka daripada keluarga B40.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Evo Mall, Mohd Fauzi Ibni Hajar melahirkan rasa syukur kerana dapat bekerjasama dengan sekumpulan profesional muda berbakat dari JAZRO.

“Melihat kepada sambutan yang luar biasa menerusi Karnival Robotik ini, maka kami percaya acara sebegini harus diadakan lebih kerap selaras dengan misi Evo Mall untuk menjadi 'pusat membeli-belah mesra komuniti',” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang turut hadir pada karnival tersebut memuji usaha penganjur yang berusaha keras mengadakan program sedemikian.

Menurutnya, Karnival Robotik wajar diadakan kelak dengan memberi peluang lebih banyak kepada kanak-kanak dalam kalangan keluarga B40 untuk belajar tentang robotik.

Artikel berkaitan 

Cipta model roket bahan api pepejal ketika usia 9 tahun, Khawo kini ‘Rocketeer Termuda Malaysia’

Robotik muda SK Putrajaya Presint 11 (3) mula dikenali ramai, kini aktif cipta robot guna komponen lego

Minat robotik sejak sekolah rendah, dorong siswazah gondol 2 anugerah dalam dan luar negara 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok