Bermain bola sepak mungkin nampak mudah bagi sesetengah individu.
Ini kerana, ada dalam kalangan mereka beranggapan sukan tersebut hanya perlu menendang bola sahaja ketika bermain dan mengambil peluang menjaringkan seberapa banyak gol bagi mendapat mata kemenangan.
Tanggapan ini salah sama sekali dan ia turut disokong oleh Guru Pendidikan dan Jasmani, Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2, Cheras, Selangor, Cikgu Mohd Nasir Zakaria, 39.
Menurut beliau, dalam bola sepak, terdapat pelbagai kemahiran asas yang perlu dikuasai selain menendang bola dan menjaringkan gol.
"Pemain perlu menguasai kemahiran menendang atau tendangan, menyerkap atau menerima bola, mengelecek, melakukan hantaran, menanduk dan menjaga gawang gol.
"Semua kemahiran asas ini perlu dipelajari oleh pemain melalui latihan dan tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman.
"Bimbingan mereka akan memberikan pemain satu pengalaman yang berbeza dalam setiap sesi latihan,” ujarnya kepada Sinar Bestari.
Bagi melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang profesional, Sinar Bestari senaraikan enam kemahiran asas bola sepak hasil perkongsian Cikgu Mohd Nasir.
[caption id="attachment_49011" width="600"] Kredit foto: Unsplash[/caption]
Jom baca!
1) Menendang atau tendangan
Tendangan yang baik dapat dihasilkan dengan menggunakan teknik yang betul. Misalnya, seorang pemain dapat menendang dengan baik jika mempunyai kekuatan otot dan kuasa yang baik di bahagian kaki.
Pada asasnya, terdapat tiga jenis tendangan iaitu leret, lambung dan voli.
(1.1) Tendangan leret dilakukan apabila membuat hantaran dekat dan menjaringkan gol. Berdasarkan kepada situasi dalam permainan, tendangan ini merupakan kemahiran paling asas dalam permainan bola sepak.
Teknik melakukan tendangan leret
- Kedudukan bersedia. Letakkan kaki sokongan di sisi bola. Badan hampir lurus. Mata memandang bola.
- Ayunkan kaki menendang ke belakang. Badan dibongkokkan sedikit ke hadapan. Kaki sokongan dibongkokkan sikit.
- Tendang di bahagian tengah bola.
- Ikut lajak selepas melakukan tendangan.
(1.2) Tendangan lambung dilakukan ketika membuat hantaran jauh, tendangan bebas, tendangan sudut, mengeluarkan bola dari kawasan gol dan semasa menjaringkan gol.
Teknik melakukan tendangan lambung
- Kedudukan bersedia. Letakkan kaki sokongan di belakang bola. Badan hampir lurus. Mata memandang bola.
- Ayunkan kaki menendang ke belakang. Lutut kaki sokongan dibengkokkan sedikit.
- Tendang di bahagian bawah bola. Badan condong ke belakang.
- Ikut lajak selepas melakukan tendangan.
(1.3) Tendangan voli melibatkan aksi akrobatik seseorang pemain kerana perlu melakukannya dengan kekuatan kaki dan konsentrasi yang tinggi. Tendangan voli dilakukan untuk mengeluarkan bola dari kawasan gol untuk menjaringkan gol. Ia dilakukan menggunakan bahagian kekura kaki semasa bola di udara.
Teknik melakukan tendangan voli
- Kedudukan bersedia. Berdiri menghadap bola.
- Ayunkan kaki menendang ke belakang. Lutut kaki sokongan dibengkokkan sedikit. Mata memandang bola.
- Tendang di bahagian bawah bola menggunakan kekura kaki. Badan condong ke belakang.
- Ikut lajak selepas melakukan tendangan.
2) Menyerkap atau menerima bola
Jangan sampai bola terlepas dan pastikan ia diserkap dengan baik. Kebolehan menyerkap bola yang datang memudahkan seorang pemain itu melakukan tindakan yang seterusnya dalam bola sepak.
Pelbagai bahagian anggota badan, kecuali tangan boleh digunakan untuk menyerkap bola. Penggunaan bahagian anggota badan bergantung kepada keadaan bola yang datang, sama ada meleret atau tinggi.
Kesediaan pemain dalam melakukan penyerkapan sangat penting bagi memastikan bola sentiasa dalam penguasaan pasukan.
[caption id="attachment_49013" width="600"] Kredit foto: Unsplash[/caption]
3) Mengelecek
Kemahiran ini melibatkan kebolehan berlari sambil mengawal bola ke kiri, kanan, hadapan atau berpusing ke belakang.
Mengelecek boleh dilakukan dengan sebelah kaki. Biasanya, bahagian dalam dan luar kaki digunakan.
Aksi ini sangat penting kerana gelecekan yang baik akan mengelirukan pihak lawan seterusnya menguasai zon padang dan jika berpeluang dapat melakukan jaringan.
4) Melakukan hantaran
Hantaran dapat memastikan penguasaaan bola dalam pasukan kekal. Ia biasanya dilakukan dengan menggunakan kemahiran menendang.
Tendangan leret digunakan untuk membuat hantaran dekat, manakala tendangan lambung digunakan untuk membuat hantaran jauh.
Seorang pemain boleh menggunakan hantaran dekat dan jauh semasa melakukan kepelbagaian arah. Hantaran yang baik akan memberikan peluang untuk menjaringkan gol.
5) Menanduk
Kebanyakan gol melalui tendangan sudut dapat disudahkan melalui tandukan.
Kemahiran menanduk boleh digunakan untuk menjaringkan gol dan melakukan hantaran.
Aksi ini dilakukan dengan menggunakan bahagian dahi dan jenis tandukan yang biasa dilakukan semasa bermain ialah tandukan ke hadapan, belakang dan sisi.
Tandukan yang baik dapat mengekalkan penguasaan bola sekiranya dapat disambut oleh pemain dalam pasukan yang sama.
[caption id="attachment_49011" width="600"] Kredit foto: Unsplash[/caption]
6) Menjaga gol
Hanya penjaga gol boleh menggunakan tangan untuk menangkap bola. Ia untuk menghalang bola daripada masuk ke dalam gawang.
Teknik ini perlu dipelajari dengan jurulatih khas. Penjaga gol boleh menggunakan keseluruhan anggota badannya untuk menghalang cubaan jaringan yang dibuat oleh pasukan lawan.
Penjaga gol yang baik mestilah menguasai kemahiran menangkap, menumbuk dan menendang.
Tugas penjaga gol sangat ‘crucial’ kerana merupakan ‘last man standing’ untuk menjaga gawang gol.
Artikel berkaitan
4 fakta menarik Piala Dunia 2022
Profesor ajar sejarah dengan tonton Piala Dunia 2022
Kenali Al Rihla, bola rasmi Piala Dunia Qatar 2022