Perbelanjaan yang banyak sepanjang tempoh pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mendorong graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam, Izran Mohamad Saaban, 27, untuk menghasilkan buku berjudul Ringkasan Ilmu Tajwid Al-Quran.
Menurut anak sulung daripada enam adik-beradik itu, dia bukanlah berasal daripada keluarga senang dan pada masa sama banyak kos yang perlu ditanggung sepanjang empat tahun pengajian di universiti itu.
"Alhamdulillah, buku tersebut sudah terjual lebih 17,000 naskah dan membantu menampung kos sara hidup semasa belajar di UPSI,” katanya selepas menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-24 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, baru-baru ini.
Izran menjual buku tersebut secara dalam talian dan sering kali menerima jemputan seminar tajwid di sekitar kawasan Tanjung Malim, Perak, dan turut mengadakan kelas secara dalam talian menerusi platform Zoom.
Dia berkata, semasa belajar, dia memanfaatkan siang hari dengan menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan, manakala sebelah malam pula dia bersengkang mata untuk menghasilkan buku dan mencari rujukan.
"Meskipun begitu, saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar universiti dan bertekad untuk mencipta kejayaan dalam bidang akademik seperti rakan-rakan lain,” jelasnya.
Izran memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.89 dan turut menerima Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti yang disampaikan Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim.
Dia yang juga berkelulusan Diploma Pengajian Islam dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) aktif bersama Sahabat Ulul Albab UPSI sebagai Timbalan Yang Dipertua dan Persatuan Pendidikan Islam sebagai Exco Dakwah pada tahun 2018.
Anak kepada pesara pekerja am rendah di sebuah sekolah rendah, Mohamad Saaban Abdul Rahman, 60, dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Rodiah Abdullah, 52, di Kampung Sat Hilir, Tanah Merah, Kelantan, ini pernah mendapat didikan di Markaz Nile, Kaherah, Mesir selama setahun dalam pengajian Bahasa Arab dan Talaqqi Al-Quran.
Dia bersyukur buku yang dihasilkannya itu sudah memanfaatkan belasan ribu umat Islam di negara ini dan memenuhi niatnya untuk membantu masyarakat membaca kitab suci al-Quran dengan baik dan lancar.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff yang kagum dengan semangat juang dipamerkan oleh Izran melahirkan rasa bangga dengan kreativiti pelajar itu yang sudah mengamalkan budaya keusahawanan meskipun masih bergelar pelajar.
"Sememangnya Izran layak untuk menerima Anugerah Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti, malah hasil karyanya itu sangat bermanfaat untuk masyarakat,” tambah beliau.
Artikel berkaitan
Hasrat bapa lihat kejayaan anak di pentas konvokesyen tidak kesampaian
UPSI sasar kedudukan 150 universiti terbaik di Asia
Penghidap autisme penerima Anugerah Pingat Emas USM