Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sering dipandang serong oleh masyarakat. Persepsi kononnya TVET hanya pendidikan untuk golongan kurang cerdik sentiasa bergema di minda masyarakat di negara ini.
TVET masih menerima persepsi negatif meskipun ia satu disiplin pendidikan yang sangat diutamakan di Barat termasuk di Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Britain.
Wawancara Sinar Bestari mendekati pakar TVET yang juga Ketua Pegawai Operasi STDC, Dr Ir Muhidin Arifin untuk mengupas isu berkaitan TVET di negara ini.
SINAR BESTARI: Masyarakat nampaknya masih keliru dengan istilah dan persepsi pendidikan TVET? Boleh Profesor jelaskan maksud sebenar pendidikan TVET?
MUHIDIN: Pendidikan TVET sebenarnya merangkumi semua kegiatan masyarakat. TVET umpama ‘toolkit’ atau ‘kaedah’. Ia merangkumi kemahiran praktikal, pengetahuan dan pengalaman. TVET mengajar manusia termasuk pelajar untuk membina dan membaiki sesuatu, menyelesaikan masalah, mencipta perkara baharu dan menyara kehidupan. Mengapa ini penting? TVET ialah pembelajaran sepanjang hayat dan kebolehsuaian.
Kita kena faham bahawa keperluan dunia sentiasa berubah. Peluang pekerjaan baharu muncul sepanjang masa. Jadi, kemahiran TVET melengkapkan pelajar untuk menyesuaikan diri dan mempelajari perkara baharu. Menerusi ini, kita dapat pastikan pelajar kekal relevan dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan.
Saya juga ingin tegaskan bahawa pendidikan TVET memberi peluang manusia menyelesaikan masalah secara praktikal. Daripada membaiki kereta, membuat rak buku, memulakan perniagaan atau mengurus kewangan, semuanya melibatkan TVET. Di sinilah, manusia diajar berdikari.
Dalam erti kata yang lain, kemahiran TVET merangkumi semua bidang termasuk pertukangan kayu, mekanik, IT, penjagaan kesihatan dan perubatan perniagaan, undang-undang, kewangan, pemasaran serta pendidikan. TVET juga memupuk pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan kemahiran berkomunikasi.
Jadi apakah matlamat dan keutamaan utama pembangunan TVET?
Ada beberapa aspek yang perlu dilakukan untuk matlamat dan keutamaan utama TVET. TVET mesti melengkapkan pengetahuan dan kemahiran seseorang individu. Perkara melibatkan semua gender. Baik lelaki mahupun perempuan. TVET ialah pembelajaran sepanjang hayat dan keutamaannya menjurus kepada peningkatan kemahiran.
Ada teras yang perlu diperhatikan dalam aspek ini termasuk pemodenan kurikulum, kerjasama industri, pembangunan tenaga kerja inovasi dan fleksibiliti. Dalam hal ini, data dan analitik boleh mengukur keberkesanan program TVET secara berterusan.
Saya cadangkan generasi muda mendalami pembangunan TVET dan meneroka sumber daripada organisasi seperti UNESCO-UNEVOC, WorldSkills International dan International Labour Organization Skills Programme (ILO Skills) untuk Green Transition bagi mendapatkan maklumat lanjut dan amalan terbaik.
Apakah strategi untuk mengemudi kejayaan pendidikan TVET?
Pendidikan TVET sedang alami transformasi ketara didorong kemajuan teknologi yang pesat, anjakan ekonomi global, dan keperluan industri. Jadi saya saran agar strategi pendidikan TVET mesti berorientasikan masa depan. Ibu bapa mesti ingin anak mereka dapat peluang pekerjaan sebaik sahaja selesai pengajian.
Dalam hal ini, saya nampak TVET menjurus kepada pendigitalan dan IR 4.0 (Revolusi Industri 4.0) tanpa melupakan kemahiran asas atau kemahiran kelangsungan hidup (survival skills). TVET mestilah ada kaitan dengan perkara terkini seperti AI (Artificial Intellegence atau kecerdasan buatan). Begitu juga dengan robotik dan pengkomputeran awan. Perkara ini mesti ada dalam kurikulum TVET.
Institusi TVET juga perlu masukkan prinsip kelestarian dan kemahiran hijau dalam program sedia ada serta baharu. Perlu diingatkan masa depan TVET bukan pendekatan satu saiz untuk semua (one-size-fits-all approach). Setiap negara mesti sesuaikan strategi TVET dengan konteks dan keperluan tersendiri.
Bagaimana TVET boleh menyumbang kepada pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi inklusif?
TVET boleh melahirkan pelajar yang mahir dalam teknologi hijau. Kurikulum TVET mesti mengajar pelajar tentang teknologi dan kesan alam sekitar. Kita juga perlu sentiasa lakukan inovasi hijau bagi memastikan TVET ialah jawapan kepada pembangunan teknologi mampan.
Dalam menangani pertumbuhan ekonomi inklusif pula kita mestikan pelajar TVET bersedia berkhidmat dalam bidang pekerjaan. Pelajar TVET mesti memiliki kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk sesuatu bidang.
Saya juga ingin tegaskan bahawa TVET memberi peluang kepada kumpulan tertentu seperti komuniti gelandangan, wanita dan golongan orang kurang upaya (OKU). TVET boleh mencetuskan mobiliti menaik dan mengurangkan jurang pendapatan.
Benarkah kemahiran hijau penting kepada graduan masa depan?
Teknologi hijau merujuk kepada jenis teknologi yang dianggap mesra alam berdasarkan proses pengeluaran atau rantaian bekalannya. Teknologi hijau juga merujuk kepada pengeluaran tenaga bersih, penggunaan bahan api alternatif dan teknologi kurang berbahaya kepada alam sekitar daripada bahan api fosil. Dan, perlu diingati bahawa teknologi hijau bukan sahaja untuk penggunaan dalam bidang kejuruteraan, komunikasi, aeroangkasa, dan bioteknologi sahaja, bahkan ia meliputi penggunaan teknologi dalam keseluruhan bidang seperti perniagaan, pemasaran, perubatan, undang-undang, media, sumber manusia, pengurusan dan lain-lain.
Ketika ini dunia Barat khususnya Amerika Syarikat (AS), EU (Kesatuan Eropah) dan Britain sangat mementingkan teknologi hijau. Jadi apakah strategi kita untuk meningkatkan kemahiran teknologi hijau. Kereta elektrik keluaran Tesla dan BYD menjadi kegilaan ketika ini. Jadi adakah kita hanya ingin berpeluk tubuh dan membiarkan AS, EU dan Britain menjadi kuasa teknologi hijau.
Saya saran menerusi TVET kita pupuk kemahiran hijau. Sediakan pelajar untuk pekerjaan dalam ekonomi hijau (green economy). Apa strateginya? Kemahiran hijau mesti merentasi semua disiplin. Tawarkan program pengurusan sumber berkaitan teknologi hijau, ekonomi kitaran (circular economy) dan sektor hijau lain.
Pada masa yang sama, pelajar TVET mesti bekerjasama dengan industri dan organisasi hijau. Institusi TVET mesti sentiasa menjemput pakar industri dan profesional industri hijau berpengalaman untuk mendedahkan pelajar kepada pengalaman dunia sebenar dan laluan kerjaya.
Teknologi hijau juga merujuk kepada program kurikulum TVET yang sentiasa berubah dan dinamik supaya ia mengikut perkembangan semasa dan seseorang pelajar atau pelatih itu terus mampu mengikuti ‘pembelajaran dan latihan kemahiran sepanjang hayat’ (lifelong learning and skills training).
Apa kaitan TVET dengan AI dan robotik? Bolehkah ia diserap dalam kurikulum TVET?
Ketika ini, kita lihat AI digunakan secara meluas di Barat. Baru-baru ini, saya melihat satu video seorang pemain badminton berlatih melambungkan bulu tangkis untuk membolehkan robot melakukan jumping smash berulang kali. Akhirnya pemain badminton itu letih tetapi robot kekal seperti biasa. Apa maksudnya di sini? Maksudnya AI meresap dalam semua aspek kehidupan manusia. Siapa yang akan merekabentuk robot? Manusia perlukan AI untuk cipta robot.
Namun, apakah reka bentuk kurikulum TVET yang mesti kita hasilkan. Ia mesti melahirkan graduan TVET yang celik asas digital, tahu pembelajaran berorientasi aplikasi, memahami pendekatan modular dan integrasi antara disiplin TVET.
Adakah pengalaman latihan bekerja dalam industri penting kepada graduan TVET?
Graduan TVET mesti menjalani latihan industri di lapangan. Mereka perlu memilih syarikat yang sesuai dengan bidang masing-masing. Pelajar TVET boleh mengasuh kepakaran mereka di lapangan selain berpeluang mendapatkan pengalaman secara hands-on daripada pakar-pakar di tempat mereka menjalani latihan industri.
Menerusi cara ini, mereka diajar istilah kerjasama dan komunikasi. Perlu diingatkan latihan industri ialah pembelajaran berasaskan kerja (Work-based Learning) atau pembelajaran berasaskan projek (Project-based Learning). Program bimbingan (Mentorship) boleh mewujudkan program mentor. Para profesional di industri dan di pusat latihan kemahiran dengan kerjasama pusat pengajian lanjutan perlu membimbing dan menyokong pelajar TVET sepanjang tempoh latihan industri dan peralihan kerjaya mereka.
Dr sebutkan tadi tentang peranan TVET dalam memberi peluang kepada OKU dan gelandangan?
TVET mesti menjadi satu pembelajaran yang insklusif kepada semua pihak. Kita tidak boleh mengabaikan OKU dan gelandangan.
Baru-baru ini, saya berbual dengan Pengarah Vokasional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Beliau bercerita kepada saya tentang peranannya ketika mengajar OKU dan gelandangan tentang TVET.
Menerusi TVET, OKU dan gelandangan boleh diberikan exit plan untuk merancang masa depan mereka. Mereka boleh melakukan kerja mengecat, memperbaiki barangan elektrik atau pelbagai kerja berkaitan kemahiran sederahana dan tinggi. Menerusi TVET, kita membantu OKU dan gelandangan untuk kelangsungan hidup mereka.
Apa yang saya maksudkan juga di sini ialah teknik pengajaran dan pelatihan atau pedagogi untuk pelajar atau pelatih OKU sudah pasti tidak sama dengan pelajar normal. Dan pedagogi latihan kemahiran juga berbeza untuk setiap pelajar OKU itu sendiri kerana mereka masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan upaya yang berbeza serta tersendiri.
Bagaimanakah Dr melihat peranan universiti awam atau swasta dalam memperkasakan TVET?
Sebenarnya sudah sampai masa semua universiti awam dan swasta di negara ini berperanan memperkasakan TVET. TVET cukup popular di Barat dan Jepun. Kita mesti naik taraf institusi pengajian berkonsepkan TVET. Bagaimanapun untuk mentransformasikan sebuah universiti aliran konvensional kepada TVET perlukan pendekatan bernas dan mencakupi pelbagai aspek.
Dalam hal ini, saya puji tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kerana telah mengambil tindakan berani menjadikan sebuah universiti milik kerajaan negeri menjadi universiti industri berorientasikan TVET.
Saya percaya proses untuk mengubah universiti menjadi institusi TVET ialah proses yang berterusan. Ia perlukan kepimpinan yang kuat, kebolehsuaian dan komitmen terhadap kerjasama. Dengan melaksanakan konsep ini dan sesuaikannya dengan konteks serta sumber khusus, kita boleh mewujudkan institusi pengajian TVET yang berjaya melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan. Perkara ini diperlukan demi memastikan pelajar boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Akhir sekali, adakah TVET sebagai alat utama untuk memperkasakan ekonomi dan pekerjaan, atau adakah ia hak asasi untuk maklumat, kemahiran dan agensi untuk individu berkembang maju dalam dunia yang rumit? Bagaimanakah kita boleh menyelaraskan pembelajaran yang mungkin bertentangan ini dalam mencipta masa depan TVET?
Soalan dikemukakan ini sangat penting di tengah-tengah evolusi TVET. Saya boleh ringkaskan soalan ini iaitu adakah ia mengutamakan pekerjaan dan pendapatan atau adakah ia mengenai hak asasi manusia yang lebih luas untuk kemahiran dan agensi?
Kedua-dua perspektif mempunyai merit dan mencari keseimbangan yang betul adalah penting untuk membentuk sistem TVET kalis masa hadapan.
Misalnya TVET boleh menangani kemiskinan dan ketidaksamaan. TVET melengkapkan individu dengan kemahiran tinggi untuk digunakan dalam dunia pekerjaan. TVET juga memenuhi keperluan industri kerana graduan belajar secara praktikal termasuk menjalani latihan industri.
Pedagogi TVET sebenarnya ialah jawapan terbaik kepada keperluan pekerjaan masa depan dalam tempoh yang singkat sekiranya pengamalnya betul-betul memahami secara fisikal dan spiritual.