Peningkatan teknologi industri automotif di Malaysia

Iklan
Di Malaysia, peningkatan teknologi dalam industri automotif telah menjadi fokus utama untuk meningkatkan daya saing dan inovasi. Gambar kecil: Ahmad Mifzal Zafrie.

Teknologi telah banyak membantu manusia dalam menjalani kehidupan seharian.

Dengan perkembangan teknologi yang pantas, kita menyaksikan inovasi telah merevolusikan pelbagai sektor.

Iklan
Iklan

Di Malaysia, peningkatan teknologi dalam industri automotif telah menjadi fokus utama untuk meningkatkan daya saing dan inovasi.

Salah satu antara peningkatan paling besar termasuklah penggunaan Kenderaan Elektrik (EV).

Iklan

Peningkatan keberkesanan bateri dan penurunan kos bateri telah memacu pertumbuhan EV.

Antara faktor utama yang mempengaruhi penggunaan EV di Malaysia adalah kebimbangan mengenai impak perubahan iklim dan pencemaran udara.

Iklan

Pengeluar automotif di Malaysia semakin memberikan tumpuan kepada pembangunan dan pengeluaran EV untuk menyokong keperluan akan teknologi hijau dan berinovasi.

Trend global yang menekankan keperluan untuk mengurangkan emisi karbon dan berpindah ke kenderaan bersih menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi pasaran EV di Malaysia.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan berupaya memacu minat dan penerimaan rakyat terhadap kenderaan sifar emisi melalui insentif EV.

Kerajaan juga membuka pelaburan melebihi RM170 juta oleh syarikat terkemuka seperti TNB, Gentari dan Tesla untuk memasang 180 stesen pengecasan EV.

Kenderaan itu juga menyediakan banyak manfaat kepada masyarakat.

Antara salah satu kelebihan utama EV adalah kenderaan tersebut tidak menghasilkan gas buangan beracun semasa beroperasi.

Ia tidak menghasilkan gas buang bersifat mencemari seperti kenderaan berasaskan petrol atau diesel yang digunakan rakyat Malaysia kini.

Dengan meningkatkan jumlah EV di jalan raya, pencemaran udara dapat dikurangkan, memberi manfaat kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Peluang pekerjaan

Peningkatan permintaan untuk kenderaan tersebut mendorong pembangunan dan inovasi dalam bidang bateri, pengurusan tenaga dan komponen elektrik lain.

Ini boleh membawa kepada perkembangan teknologi lebih canggih yang boleh memberi kesan jangka panjang pada ekonomi dan persekitaran inovasi.

Pekerjaan baharu juga dapat diciptakan iaitu dari segi pembangunan, penyelidikan, penyelenggaraan infrastruktur berkaitan pembuatan dan pasaran EV.

Hal ini dikatakan demikian kerana syarikat automotif terkenal di dunia iaitu Tesla bakal dibuka di Malaysia.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport EV bateri (BEV) ke negara ini.

Kelulusan ini sangat penting dalam mempromosikan penggunaan berkenaan di Malaysia.

Jurutera dan pakar teknologi tempatan dapat terlibat dalam pembangunan teknologi dan menyumbang kepada pembangunan industri EV di Malaysia sekali gus membuka peluang pekerjaan yang baru.

Graduan bagi kejuruteraan dan teknologi juga dapat terlibat dalam projek-projek EV dan membantu mendorong inovasi dalam industri automotif di Malaysia.

Walaupun begitu, peralihan ke kenderaan ini juga boleh membawa cabaran seperti kehilangan pekerjaan dalam sektor minyak dan gas, keperluan untuk penyesuaian kemahiran pekerja dan keperluan untuk pelaburan awal dalam pembangunan infrastruktur pengecasan.

Kerajaan juga telah memberikan pelbagai insentif dan sokongan untuk mendorong penggunaan EV.

Ini termasuk pengecualian cukai, diskaun cukai jualan dan subsidi untuk pemasangan stesen pengecas elektrik.

Kenderaan berkenaan tidak hanya merujuk kepada kereta tetapi juga merangkumi motosikal, skuter elektrik dan sejenisnya.

Perkembangan teknologi bateri dan motor elektrik telah membolehkan peningkatan penggunaan EV dalam pelbagai bentuk dan saiz.

Subsidi rebat tunai

Inisiatif Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik Untuk Rakyat diperkenalkan oleh kerajaan adalah selari dengan Dasar Automotif Nasional (2020) yang diterajui MITI.

Subsidi rebat tunai motosikal EV ini akan memanfaatkan 10,000 pengguna motosikal EV yang pendapatan tahunannya di bawah RM120,000 dengan menikmati nilai rebat RM2,400 sehingga 31 Disember 2024.

Seiring dengan perkembangan infrastruktur pengisian untuk EV, penyediaan stesen pengecasan khas untuk motosikal elektrik juga mendapat perhatian.

Ini membantu pemilik motosikal elektrik untuk mengisi bateri dengan lebih mudah.

Kerajaan juga bersetuju menambah baik proses kelulusan pembinaan stesen pengecas EV melalui Garis Panduan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Prosedur Pemajuan.

Terdapat lebih 10,000 unit EV didaftarkan di negara ini berdasarkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Keadaan ini adalah tanda positif untuk perkembangan industri EV di Malaysia untuk mencapai matlamat keseluruhan pengurangan impak alam sekitar dari sektor pengangkutan.

Perubahan dalam penggunaan kenderaan berasaskan petrol dan diesel kepada EV bukan sahaja memberikan alternatif yang lebih bersih dan mampan, tetapi juga membawa impak signifikan terhadap ekonomi negara.

Peningkatan teknologi dalam industri automotif juga memberikan dorongan kepada pertumbuhan industri terkait.

Sektor pembangunan bateri, teknologi pengecasan dan sistem penjanaan tenaga hijau semuanya berkembang seiring dengan peningkatan penggunaan EV.

Hal ini mencipta peluang baru dalam rantai bekalan industri dan membuka lapangan pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Peningkatan teknologi EV merangsang pertumbuhan ekosistem industri yang lebih luas.

Pengeluaran dan penggunaan EV meningkatkan permintaan terhadap infrastruktur pengecasan termasuk stesen-stesen pengecasan pantas di seluruh negara.

Ini membuka peluang pelaburan dalam pembangunan infrastruktur dan membawa manfaat kepada pelbagai sektor ekonomi termasuk perkhidmatan dan perniagaan tempatan.

Kesannya, ekonomi akan berkembang pesat dan membawa bersama pelbagai kesan positif yang meluas ke seluruh lapisan masyarakat.

Tarikan pelaburan asing

Pembangunan ekonomi yang mampan tidak hanya memberikan keuntungan kewangan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sosial dan kemajuan negara ke arah lebih baik.

Apabila ekonomi meningkat dan berada dalam keadaan kukuh ia sekali gus akan menyumbang kepada tarikan pelaburan asing.

Malaysia, dengan pertumbuhan ekonomi stabil menjadi destinasi yang menarik bagi pelabur antarabangsa.

Pelaburan ini membawa bersama teknologi baru, amalan pengurusan terkini dan peluang perniagaan yang memberi dorongan kepada pertumbuhan sektor-sektor utama dalam ekonomi negara.

Walaupun begitu, adalah penting untuk mengambil kira cabaran dan risiko yang mungkin timbul dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Kenaikan ketidaksetaraan sosial dan kebimbangan mengenai kelestarian alam sekitar memerlukan tindakan dan strategi sesuai menangani isu-isu ini.

Secara keseluruhan, peningkatan teknologi dalam sektor automotif melalui EV memberi sumbangan penting kepada ekonomi Malaysia.

Dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi industri ini, Malaysia dapat terus bersaing di peringkat global, mencipta peluang ekonomi mampan dan menyokong peralihan ke arah masa depan lebih bersih dan lestari.

Dengan sokongan kerajaan yang tepat, pembangunan infrastruktur yang efisien serta keterlibatan aktif industri dan masyarakat, Malaysia dapat memimpin dalam peralihan ke arah EV, membentuk ekonomi lebih mampan dan berkembang.

Meskipun terdapat beberapa kekurangan, usaha berterusan dalam pembangunan infrastruktur pengecasan, penurunan harga EV dan peningkatan prestasi bateri dapat membantu mengatasi sebahagian besar cabaran ini.

Keputusan untuk memiliki EV perlu dipertimbangkan dengan cermat berdasarkan keperluan individu dan keadaan tempatan.

Maklumat Penulis

1) Mahasiswa Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) Dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ahmad Mifzal Zafrie Yusof

2) Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my