Kategori mana yang perlu dibantu?

Iklan
Kategori tiga perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan murid-muridnya mendapat pendidikan yang sempurna.

Dari perspektif pendidikan, terdapat tiga kategori sekolah yang mungkin segelintir masyarakat tidak mengetahui secara mendalam.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, tiga kategori tersebut terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi kategori satu; sekolah berasrama harian dan sekolah harian kluster kecemerlangan (kategori dua) serta sekolah harian dan sekolah aliran agama (kategori tiga).

Iklan
Iklan

Kata Anuar, kesemua pecahan itu mempunyai pencapaian tersendiri namun ada kategori yang perlu diberi perhatian khusus oleh pihak berkaitan.

"Sekolah kategori tiga yang mesti dibantu. Mesti diberikan keutamaan,” tegas kenyataan Anuar di laman Facebook, pada Isnin.

Iklan

Di sini, Sinar Bestari kongsikan perincian yang dikatakan Anuar menerusi laman sosial berkenaan.

*****

Iklan

1) Kategori satu

SBP dan MRSM berada di dalam kategori ini dan sudah di tahap yang berjaya.

Pencapaian mereka sudah setanding dengan sekolah di negara maju, misalnya, bilangan murid dalam kelas di SBP dan MRSM sudah mencapai standard antarabangsa.

Guru-guru yang mengajar di SBP dan MRSM mengikut opsyen, malah kemudahan pembelajaran juga memuaskan.

Penglibatan ibu bapa dan alumni SBP dan MRSM juga di tahap yang sangat baik.

Pendek kata, SBP dan MRSM sudah mandiri dan mempunyai keupayaan untuk terus cemerlang dengan acuan sendiri. Alhamdulillah.

2) Kategori dua

Terdapat sebahagian sekolah berasrama harian, sekolah harian kluster kecemerlangan dan prestasi tinggi sudah berada di tahap yang baik dan ada yang sudah setanding pencapaian SBP dan MRSM.

Kemudahan sekolah di sini juga baik.

Guru-guru dan ibu bapa juga memberikan komitmen kepada pendidikan anak-anak mereka termasuklah alumni yang sentiasa ada untuk membantu pihak sekolah.

3) Kategori tiga

Dalam kalangan lebih 10,000 buah sekolah di Malaysia, kita sedar masih banyak sekolah harian dan sekolah aliran agama yang jauh ketinggalan.

Masih ada sekolah dalam kategori ini yang murid-murid di dalam kelas mencapai sehingga 50 orang.

Guru-guru pula ada yang mengajar tidak mengikut opsyen latihan keguruan.

Ada sekolah kategori ini yang berhadapan dengan kedaifan bangunan dan infra yang sangat ketara.

Sangat jauh berbeza dengan persekitaran sekolah harian kluster apa lagi jika dibandingkan dengan SBP dan MRSM.

Penglibatan ibu bapa sekolah dalam kategori ini juga sangat kurang. Alumni pun tak ramai kembali untuk berjasa pada sekolah mereka.

Walaupun ada murid yang berpotensi untuk cemerlang di sekolah ini tetapi di sebabkan keadaan ekosistem sekolah yang ketinggalan serba serbi, akhirnya mereka tidak dapat cemerlang.

Fokus

Sekolah kategori tiga inilah yang mesti dibantu. Mesti diberikan keutamaan.

Di sekolah ini, pengetua dan guru besar cemerlang sepatutnya ditempatkan. Buat perubahan.

Di sekolah inilah sepatutnya guru pakar dan guru-guru cemerlang ditugaskan.

Di sekolah inilah kaunselor mesti ditambah.

Di sekolah inilah sepatutnya bantuan pada murid dan peruntukan kerajaan diutamakan.

Agenda mereformasikan sistem pendidikan negara mesti menyasarkan sekolah kategori ini.

Jika sekolah kategori tiga tidak diberikan keutamaan, jurang pendidikan akan semakin melebar.

Lebih malang, akan semakin ramai murid-murid yang berpotensi dan berbakat besar di sekolah ini yang tidak dapat diupayakan.