Belakangan ini, teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali Artificial Intelligence (AI) tidak asing lagi dan sangat popular pada zaman serba maju ini.
AI merupakan salah satu cabang sains dalam menjadikan sesuatu benda atau mesin mempunyai kepintaran seperti manusia.
Sesetengah pihak menyifatkan teknologi AI seharusnya dilihat dari sudut positif yang mampu mengubah corak dan gaya hidup manusia kepada lebih baik contohnya memberi kemudahan untuk menjalani hidupan harian dan pekerjaan kepada mereka.
Daripada itu, dikatakan dunia masa kini berada di ambang revolusi teknologi yang boleh melonjakkan produktiviti, meningkatkan pertumbuhan global dan meningkatkan pendapatan di seluruh dunia.
Secara tidak langsung, AI membawa pelbagai ancaman di sebalik manfaat yang dijanjikan kerana menurut Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, AI bakal memberi kesan kepada hampir 40 peratus pekerjaan di seluruh dunia.
Persoalannya, bolehkah AI mengambil alih pekerjaan manusia?
Kesan teknologi AI terhadap pekerjaan adalah topik yang kompleks dan sering diperdebatkan kini.
Teknologi AI berpotensi mengautomasikan tugas dan pekerjaan tertentu yang membawa kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti dalam sesetengah industri.
Secara positif, AI boleh meningkatkan kecekapan dan produktiviti dengan mengautomasikan tugas rutin, membolehkan pekerja menumpukan pada aspek kerja yang lebih kreatif, inovatif atau memerlukan kemahiran khusus.
Selain itu, penggunaan AI boleh membawa kepada perubahan dalam tugas dan tanggungjawab pekerja di mana tugas berulang boleh dialihkan kepada AI manakala pekerja boleh diberi kuasa mengendalikan tugas yang lebih kompleks.
Akan tetapi, walaupun AI menawarkan beberapa kelebihan, terdapat kelemahan kritikal yang perlu dipertimbangkan dalam konteks pekerjaan.
Pertama, AI sangat bergantung kepada data yang besar dan berkualiti tinggi; jika data yang digunakan berat sebelah atau tidak berilustrasi, ramalan atau keputusan yang terhasil mungkin tidak tepat atau malah berbeza.
Kedua, keupayaan AI untuk menyesuaikan diri dengan konteks baharu atau tugasan yang tidak terlatih adalah terhad kerana ia cenderung menumpukan pada tugas yang telah diprogramkan atau dilatih.
Di samping itu, kelemahan AI dalam memahami emosi manusia dan konteks sosial menjadikannya kurang sesuai untuk pekerjaan yang memerlukan tahap empati, komunikasi kompleks atau pemahaman mendalam tentang perasaan atau persekitaran sosial.
Secara keseluruhannya, boleh dikatakan persoalan sama ada AI boleh mengambil alih pekerjaan manusia mempunyai jawapan kompleks dan kontekstual.
Walaupun AI berpotensi melaksanakan tugasan tertentu terutamanya tugasan yang berulang, kesannya bergantung pada pelbagai faktor seperti sektor pekerjaan, penyesuaian kemahiran manusia dan strategi pelaksanaan teknologi.
Selain daripada itu, adanya teknologi AI ini juga memberi peluang kepada pekerja berkemahiran tinggi kerana kita mungkin memerlukan orang untuk menguruskan sistem penyelenggaraan AI.
Tambahan pula, pekerjaan akan datang atau masa depan mungkin memerlukan set kemahiran baharu, maka perlu adanya kapasiti latihan yang baharu kepada golongan pekerja di luar sana.
Maklumat Penulis
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Ain Jasmin Mohd Yusof
2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my