Angkat beg dan dukung naiki tangga sekolah, inilah sahabat dunia akhirat!

Iklan
Zhafran Hijazi (kanan) bersama sahabat sejatinya, Mohd Eddy Haikal (kiri).

Sanggup pikul beg sekolah dan mendukung rakan menaiki tangga untuk ke kelas di tingkat atas, inilah yang dipanggil sahabat sejati!

Demikian yang dapat penulis katakan tentang persahabatan luar biasa dua pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abaka, Merotai, Tawau, Sabah, Zhafran Hijazi Zainuddin dan Mohd Eddy Haikal Nadir Abdullah.

Iklan
Iklan

Difahamkan, Zhafran Hijazi yang memiliki tubuh kecil tidak mampu melakukan kerja berat akibat penyakit buah pinggang yang dihadapinya.

Dia tidak mampu untuk mengangkat beg sekolah sendiri dan paling mengundang sebak, pelajar ini tidak berupaya menaiki tangga ke kelas yang berada di tingkat atas.

Iklan

Bagaimanapun, ALLAH Maha Baik. Zhafran Hijazi direzekikan memiliki seorang sahabat yang sentiasa setia disisi kala susah dan senang.

Mohd Eddy Haikal, kawan yang setia mengangkat beg sekolah Zhafran Hijazi, mendukung sahabatnya menaiki tangga sekolah selain membantu melakukan kerja lain yang membabitkan Zhafran Hijazi. Ya ALLAH, terus penulis sebak!

Iklan

Menurut Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah yang melawat Zhafran Hijazi di rumahnya baru-baru ini, beliau melahirkan rasa kagum dengan persahabatan dua pelajar berkenaan.

"Bayangkan di usia yang baru mencecah 13 tahun, Zhafran Hijazi dan Mohd Eddy Haikal Nadir sudah ada sifat yang cukup mulia dan tersangat baik.

"Tentunya saya bangga kerana anak muda Merotai iaitu orang kampung saya memiliki sifat terpuji seperti ini. Beginilah yang kita mahukan. Ikhlas dalam persahabatan.

Yun Fah (kanan) berkongsi cerita dengan Zhafran Hijazi (tengah) dan Mohd Eddy Haikal.

"Kepada ibu bapa dan penjaga Zhafran Hijazi dan Mohd Eddy, tahniah kerana anda memiliki anak-anak yang berakhlak terpuji,” katanya yang turut diiringi Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman dan Pakar Perunding Pediatrik, Dr Asmiati Abd Hamid dalam lawatan tersebut.

Sementara itu, Hasnah Marola iaitu ibu kepada Zhafran Hijazi berkata, anaknya dikesan menghidap penyakit buah pinggang atau end-stage renal failure pada 2017, setelah mengadu sakit perut dan kencing berdarah.

"Saya dan suami terus membawa Zhafran Hijazi ke Hospital Tawau sebelum dirawat selama 10 hari di situ dan kemudian membawanya ke Hospital Likas bagi pemeriksaan lanjut.

"Pada 2021, Zhafran Hijazi mula menjalani dialisis tiga kali seminggu. Dia seorang anak yang kuat semangat cuma bila ke sekolah, dia tidak boleh mengangkat benda berat, beg berat atau berjalan lama. Syukur ada kawan-kawan prihatin seperti Mohd Eddy Haikal Nadir yang membantu,” kata Hasnah.

Dalam pada itu, Dr Shameer Khan berkata, pihaknya akan membuat pemantauan berkala seminggu sekali terhadap Zhafran Hijazi dengan ke rumahnya yang terletak 40 kilometer dari bandar Tawau.

"Adik (Zhafran Hijazi) ini ada buat pemeriksaan susulan dengan hospital manakala klinik kesihatan juga akan buat pemeriksaan susulan kesihatannya selepas ini.

"Melalui kerjasama badan bukan kerajaan atau parti politik, kami dapat kenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan kesihatan atau mungkin tercicir rawatan," ujarnya lagi.