Sistem capaian SPM 2023 dalam talian lancar

Iklan
Fadhlina (tengah) ketika berada di Bilik Gerakan Lembaga Peperiksaan bagi memantau secara dekat pengurusan pengeluaran SPM 2023.

Pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang dikeluarkan ketika berlangsungnya Cuti Penggal 1, tidak sedikit pun menjejaskan proses pengambilan keputusan terbabit.

Ia kerana, para pelajar hanya perlu melakukan semakan secara dalam talian atau menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS) bagi mendapatkan keputusan mereka.

Iklan
Iklan

Bagi yang tidak pulang ke kampung atau menghadapi isu akses, mereka boleh mendapatkan keputusan SPM di sekolah masing-masing.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sistem capaian keputusan SPM 2023 secara dalam talian berjalan dengan baik dan setakat ini, lebih 70,000 pengguna telah berjaya mengaksesnya.

Iklan

"Semuanya dalam keadaan sangat lancar.

"Keupayaan server dan kapasiti penyampaian yang cukup baik serta memuaskan memandangkan keputusan dikeluarkan secara dalam talian dan melalui SMS.

Iklan

"Sempat saya sertai pertemuan calon-calon SPM 2023 (Angkatan 06) bersama-sama guru mereka secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet #TerimaKasihCikgu. Tahniah semua,” katanya seperti dipetik menerusi laman Facebooknya pada Isnin.

Difahamkan, beliau bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berada di Bilik Gerakan Lembaga Peperiksaan bagi memantau secara dekat pengurusan pengeluaran SPM 2023.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, semua lepasan SPM harus meneruskan perjuangan mereka dalam menuntut ilmu.

Ujarnya, terdapat pelbagai bidang dan laluan pengajian sedang menanti sama ada laluan akademik, jajaran kemahiran mahupun penerokaan bidang-bidang baharu.

Malah, beliau menasihatkan supaya mereka (pelajar) tidak berlengah-lengah untuk membuat permohonan bersesuaian.

"Saya kini sedang dalam aturan untuk berhubung dengan kesemua Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seluruh negara.

"Kita akan beri fokus kepada agenda ‘apa selepas ini untuk anak-anak kita’. Anak-anak batch 06 ini ialah angkatan yang cukup penting dan menjadi turning point (titik perubahan) untuk anjakan lanjutan negara.

"Hala tuju negara kini menuntut kita semua bergerak sederap-selangkah, segulai-sejalai (seiring sejalan) menuju satu lagi tahapan pembangunan negara secara komprehensif,” ujarnya.