Tidak ikuti pendidikan formal, pelajar tahfiz raih 9A SPM

Iklan
Syahrul menunjukkan slip keputusan SPM yang diterimanya pada Isnin.
Biarpun tidak mendapat pendidikan secara formal di sekolah, calon persendirian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dari Melaka ini, berjaya meraih keputusan cemerlang semua A dalam sembilan subjek yang diambilnya.

Lebih teruja, Muhammad Syahrul Sa’aban, 23, yang merupakan pelajar dari Madrasah Tahfiz al-Quran Rabiatul Adawiyah, memilih aliran Sains Tulen kerana minat yang mendalam sekali gus membuktikan pelajar tahfiz juga mampu berjaya.

"Alhamdulillah, pada awalnya saya agak terkejut tapi dengan bantuan pihak madrasah yang banyak memberi motivasi membangkitkan semangat saya untuk terus belajar.

"Kejayaan ini adalah bukti pelajar tahfiz boleh berjaya sama seperti pelajar lain dan persepsi golongan kami boleh ambil subjek teras sahaja untuk SPM berjaya ditepis,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari pada Selasa.

Syahrul (kiri) bergambar bersama Pak Riz selaku pengasas Madrasah Tahfiz Al Quran Rabiatul Adawiyah Bukit katil Melaka
Iklan
Iklan


Muhammad Syahrul yang juga merupakan hafiz al-Quran mengakui, dia tidak mendapat pendidikan secara formal dan untuk itu, berusaha menuntut ilmu secara bersendiri di YouTube menerusi kemudahan televisyen yang disediakan di madrasah.

Ujarnya, walaupun agak sukar lebih-lebih lagi bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Sejarah, namun tidak mematahkan semangatnya untuk terus menuntut ilmu.

"Alhamdulillah, saya dapat peluang untuk sertai kelas tambahan yang dibuat oleh Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah bersama pelajar-pelajar lain setiap malam bermula jam 8 sampai 10 malam.

"Sedikit sebanyak ia membantu saya lebih mudah untuk fahami setiap ilmu yang diberi,” jelasnya.

Bercerita lanjut tentang dirinya, anak bongsu daripada enam beradik itu memberitahu, dia memasuki madrasah tersebut seawal usia 13 tahun.

Mengikut perancangan asal, dia sepatutnya mengambil SPM ketika berusia 18 tahun namun disebabkan oleh pandemik Covid-19, tiada sekolah untuk dirinya tumpang menduduki peperiksaan.

Namun, ia bukan alasan buat Muhammad Syahrul untuk terus melupakan perancangan itu meskipun perlu menduduki peperiksaan ketika berusia 22 tahun.

"Saya bermula agak lewat sebenarnya diikuti dengan rasa berat dan sebagainya.

"Tapi berkat dorongan dan kata-kata semangat daripada orang-orang madrasah akhirnya saya berjaya buktikan bahawa saya juga boleh capai keputusan cemerlang,” katanya lagi.

Mengakhiri perbualan, Muhammad Syahrul turut memberi pesan kepada semua pelajar tahfiz seluruh negara agar sentiasa mencari peluang dan potensi diri sendiri dalam apa jua bidang pendidikan yang sekali gus mengangkat nama baik mereka.

"Untuk pelajar tahfiz jangan rasa rendah diri dan carilah minat serta potensi diri dengan cuba belajar aliran lain seperti Sains.

"Dan cuba kuasai sebanyak mungkin ilmu di dunia nescaya kita akan dapat lihat betapa hebatnya kuasa ALLAH lebih-lebih lagi ilmu Sains yang ada kaitannya dengan al-Quran,” ujarnya.
Iklan
Iklan