KPM perlu tangani isu kesihatan mental pendidik - EWRF

Iklan
Laporan akhbar pada 2022 hingga 2024 menunjukkan bahawa guru berkemungkinan besar menghadapi cabaran dari segi kesihatan mental dan isu berkaitan tekanan minda kerana sering memberikan hukuman berbahaya kepada murid. Gambar hiasan, foto 123RF.

Yayasan Pendidikan, Kebajikan dan Penyelidikan Malaysia (EWRF) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan sokongan yang mencukupi bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pendidik.

EWRF dalam satu kenyataan berkata, sokongan tersebut perlu diberikan kepada pendidik yang memerlukan bantuan sama ada melalui perkhidmatan kaunseling atau pertolongan daripada pihak profesional.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut dilihat wajar berikutan laporan akhbar dan kajian akademik terkini menunjukkan bahawa isu kesihatan mental melibatkan pendidik di sekolah semakin meningkat.

"EWRF memohon agar KPM menangani peningkatan yang membimbangkan dalam kes-kes melibatkan keganasan, penderaan dan tindakan disiplin yang melampau oleh segelintir guru kerana ia sedang berlaku dengan kekerapan tidak menentu.

Iklan

"Hal ini menekankan keperluan yang mendesak untuk membentuk suatu sistem kesihatan mental yang komprehensif dalam institusi kesihatan kita.

"Malah, mangsa yang tidak bersalah dalam kes seperti ini ialah murid termasuk kanak-kanak kecil dan remaja,” katanya pada Jumaat.

Iklan

EWRF berkata, laporan akhbar pada 2022 hingga 2024 menunjukkan bahawa guru berkemungkinan besar menghadapi cabaran dari segi kesihatan mental dan isu berkaitan tekanan minda kerana sering memberikan hukuman berbahaya kepada murid.

Ujar kenyataan itu, antara yang dilaporkan termasuklah guru mengenakan hukuman tidak wajar dengan memukul murid berulang kali selama lebih 30 minit, menjerit, menampar dan menolak kanak-kanak itu di tepi pentas dalam satu majlis di sekolah.

Tambahnya, dalam kes lain pula mengenai kanak-kanak berusia 11 tahun telah lumpuh selepas mengalami strok haba akibat tindakan guru memaksa murid berkenaan berdiri di bawah matahari hampir tiga jam.

"Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) turut melaporkan bahawa mereka menerima antara 30 hingga 50 kes guru yang mengalami tekanan minda setiap bulan.

"Kajian akademik pada 2019 yang dijalankan Zahiruddin Othman dan Vevehkanandar Sivasubramaniam mendedahkan 9.9 peratus guru mengalami kemurungan sangat teruk, 23 peratus masalah kebimbangan dan 7 peratus menghadapi tekanan minda.

"Satu lagi kajian mendapati bahawa 43 peratus mempunyai ‘prevalens’ gejala kemurungan yang tinggi, 68 peratus kebimbangan dan 32.3 peratus tekanan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, EWRF menambah, kajian ahli akademik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Johns Hopkins pada 2022 mendapati 55 peratus guru sekolah menengah menunjukkan gejala psikologi iaitu tahap kesihatan mental lemah.

"Statistik ini sememangnya membimbangkan tetapi ramai guru yang menghadapi cabaran ini dan enggan mendapatkan rawatan atau kaunseling walaupun kesihatan mental mereka merosot.

"EWRF sedia bekerjasama dengan KPM, menawarkan sesi kaunseling bersemuka serta tele-kaunseling percuma di cawangan terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia untuk murid serta guru yang mungkin menghadapi tekanan minda, mental, kemurungan dan cabaran lain.

"Kami ingin menghulurkan sokongan dan sumber untuk menangani masalah nasional ini secara holistik untuk manfaat kanak-kanak, ibu bapa, pendidik dan masyarakat,” katanya lagi.