Aplikasi HELPIE SK Putrajaya Presint 11 (1) menang Pertandingan Sekolah Sihat AIA

Iklan
Pemenang Pertandingan Sekolah Sihat AIA diraikan dalam majlis yang berlangsung di Bali.

Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1), Putrajaya diumum pemenang Pertandingan Sekolah Sihat AIA menerusi aplikasi mudah alih kesihatan HELPIE yang dibangunkan murid-muridnya.

Dengan kemenangan itu, pihak sekolah berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM472,100 yang diumumkan dalam majlis di Bali, Indonesia serta dihadiri Pengasas Youthtopia, Melati Wijsen merangkap Duta AIA.

Iklan
Iklan

Ketua Projek, Cikgu Mohd Saharudin Setapa berkata, kemenangan itu adalah bukti bahawa kerja keras pasukan dalam menghasilkan HELPIE berbaloi.

"Besar harapan kami agar dapat berkongsi manfaat projek ini bukan sahaja di Malaysia tetapi juga kepada negara lain demi mewujudkan kehidupan lebih sihat untuk komuniti dan warga sekolah,” katanya.

Iklan

Aplikasi tersebut menyediakan alat untuk mengenal pasti pengurusan tekanan bersama-sama dengan permainan dan kempen kesihatan yang menarik.

Ia telah memberi manfaat kepada lebih 500 pelajar dengan membantu mengurangkan tahap tekanan daripada 34 peratus kepada 18 peratus manakala 92 peratus melaporkan pemahaman emosi yang lebih baik.

Iklan

Sementara itu, Ketua Eksekutif dan Presiden AIA, Lee Yuan Siong berkata, golongan muda hari ini menghadapi pelbagai masalah kesihatan.

"Penyakit gaya hidup kini menjadi punca utama kematian di Asia merentas semua peringkat umur dan kadarnya telah meningkat selama bertahun-tahun.

"Kerana itulah kami memberi seluruh perhatian kepada program Sekolah Sihat AIA dan keupayaannya untuk membantu mereka menjalani kehidupan lebih sihat, lebih lama dan lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Melati berkata, masa depan adalah dalam genggaman anak-anak muda.

Katanya, mereka adalah pelaksana perubahan untuk menangani cabaran terbesar dunia iaitu pencemaran dan perubahan iklim.

"Kita mesti memperkasakan anak muda untuk menyahut cabaran ini.

"Salah satu perkara yang paling penting ke arah ini adalah mewujudkan pelajar sihat fizikal dan minda serta bersedia menghadapi dunia yang akan mereka warisi.

"Tahniah kepada SK Putrajaya Presint 11(1) atas usaha murid-muridnya dalam menghasilkan inovasi HELPIE yang kreatif dan inovatif,” jelasnya.