200 pelajar di Pulau Pinang timba ilmu kewartawanan

Iklan
Kesemua peserta Jelajah TV PSS Sinar Bestari bergambar bersama Abdul Said (duduk di tengah) di SM Sains Kepala Batas, Pulau Pinang.
Seramai 200 pelajar dari sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang menyertai program Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sinar Bestari 2024 yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, Pulau Pinang pada Rabu.

Kesemua pelajar itu mewakili sekolah dari daerah masing-masing dalam bengkel yang mendedahkan kerjaya sebagai wartawan, etika kewartawanan, pengendalian studio, penggunaan kamera, penulisan skrip, percambahan idea dan perkara-perkara lain berkaitan dunia kewartawanan serta penyiaran.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Damai, Bukit Mertajam, Louise Lim Joe Xuan, 15, mengakui amat berbesar hati apabila berpeluang mengikuti Jelajar TV PSS Sinar Bestari bersama-sama rakan dari sekolah berbeza kerana boleh bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain.

LOUISE
Iklan
Iklan


Louise juga mengakui amat berminat dengan dunia kewartawanan dan bercita-cita untuk menjadi wartawan berjaya satu hari nanti.

"Saya sangat seronok kerana dapat berjumpa dan bertukar pendapat dengan rakan-rakan dari sekolah lain mengenai ilmu kewartawanan. Pengalaman ini tidak akan saya lupakan.

"Saya berharap program seperti ini diteruskan agar pelajar yang betul-betul berminat dapat pendedahan awal mengenai dunia wartawan sebenar," katanya kepada Sinar Bestari selepas berakhirnya sesi Jelajah TV PSS Sinar Bestari itu.

SITI NURQISTINA
Iklan
Iklan


Pelajar SMK Permatang Tok Jaya, Siti Nurqistina Zaidi, 15, pula berkata, minat untuk menjadi wartawan timbul sejak di bangku sekolah rendah lagi.

"Memang cita-cita saya mahu menjadi wartawan kerana minat dalam menyampaikan berita untuk bacaan pembaca. Saya juga suka cabaran dan merasakan pekerjaan ini amat sesuai dengan saya.

"Syukur berpeluang menyertai Jelajah TV PSS Sinar Bestari kerana banyak benda baharu dalam dunia kewartawan yang saya dapat belajar. Diharapkan program seperti ini tidak berhenti di sini sahaja," katanya.

P THAAANIYAVANTANY


Sementara itu, pelajar SMK Dato Onn, P Thaaaniyavatany, 15, berkata, program TV PSS Sinar Bestari ini sangat bagus kerana memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai kerjaya sebagai wartawan.

Oleh itu katanya, ia wajar diteruskan kerana merupakan satu program yang sangat bermanfaat.

"Saya memang minat membaca, kemudiannya bercerita semula apa yang telah saya baca. Itu minat dari kecil, suka menyampaikan berita kepada orang.

"Bersesuai dengan program ini, ia mendedahkan banyak ilmu tentang kerjaya wartawan terutama kepada kami pelajar sekolah.

"Dengan pendedahan bermanfaat yang dikongsi moderator pada hari ini, ia secara tidak langsung meniup semangat kepada pelajar untuk terus mencapai cita-cita kami untuk menjadi wartawan," katanya.

Pengarah Projek Jelajah TV PSS Sinar Bestari, Meen Tahrin (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Abdul Said selepas tamat program itu di Pulau Pinang.


Jelajah berilmu lagi berkualiti

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Said Hussain berkata, Jelajah TV PSS Sinar Bestari perlu diteruskan kerana ia merupakan satu program ilmiah yang sangat berkualiti dalam melahirkan wartawan yang berilmu.

Menurutnya, program seumpama itu sepatutnya diwujudkan sejak dahulu lagi dalam memberi pendedahan dan ilmu bidang kewartawanan kepada pelajar sekolah.

"Tahniah kepada Bahagian Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (BSTP) Pulau Pinang, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Sinar Bestari kerana menghasilkan program yang cukup hebat ini. Ia satu idea yang hebat, sepatutnya sudah laksanakan dahulu lagi.

"Saya menyokong penuh hasrat untuk melaksanakan Jelajah TV PSS Sinar Bestari di seluruh Malaysia, namun seeloknya ia perlu ada tindak susul selepas ini di peringkat sekolah. Guru-guru boleh ambil inisiatif mengadakan bengkel kepada pelajar," katanya.

Seorang guru (tiga dari kanan) memberi penerangan kepada murid sekolah di program Jelajah TV PSS Sinar Bestari di SM Sains Kepala Batas.


Beliau turut mengutarakan pendapat bahawa program itu perlu lebih ramai penglibatan murid pada masa akan datang.

"Jika boleh, tambahkan bilangan penglibatan murid dan pelajar. Seelok-eloknya kita war-warkan untuk lebih ramai dengan cara mengadakan bengkel di peringkat sekolah, pejabat pendidikan daerah dan negeri.

"Selain itu, mungkin pada masa depan, kita mengadakan anugerah khas seperti wartawan cilik terbaik di peringkat kebangsaan. Anugerah itu boleh diberikan ketika sambutan hari guru atau hari kanak-kanak, ini sekadar cadangan.

"Ini antara cadangan tindak susul yang perlu diambil terhadap program ini kerana ia satu program yang baik, sayang jika ia hanya diadakan dalam tempoh sehari dua sahaja," katanya.