Pelajar cemerlang 10A SPM ditawar program matrikulasi Ogos ini

Iklan
Pelajar cemerlang SPM yang berkenaan akan mendapat tawaran berperingkat selewat-lewatnya minggu ketiga bulan depan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pelajar cemerlang yang memperoleh 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menerima tawaran penempatan matrikulasi pada Ogos depan.

Berita baik itu diberitahu sendiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan
Iklan

Katanya, pelajar cemerlang tersebut akan mendapat tawaran secara berperingkat selewat-lewatnya minggu ketiga bulan depan.

"Kenapa minggu ketiga Ogos? Kerana ada tawaran UPU (Unit Pusat Universiti) pada 6 Ogos nanti,” ujarnya sebagai menjawab soalan dikemukakan Chong Chien Jen (PH-Stampin) tentang isu pelajar cemerlang lepasan SPM yang gagal mendapat tempat di program matrikulasi.

Iklan

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, jumlah pelajar cemerlang 10A ke atas yang memohon matrikulasi KPM adalah seramai 4,877 iaitu 2,610 pelajar Bumiputera dan 2,267 bukan Bumiputera.

Katanya, ambilan pertama seramai 3,684 orang mencakupi 2,496 pelajar Bumiputera dan 1,188 pelajar bukan Bumiputera.

Iklan

Manakala seramai 400 pelajar cemerlang iaitu 33 Bumiputera dan 367 bukan Bumiputera pula, ditawarkan untuk ambilan kedua telah mendaftar pada Khamis dan Jumaat (hari ini).

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah membuat kenyataan dengan mengumumkan jaminan kemasukan ke program matrikulasi bagi pelajar cemerlang 10A ke atas SPM tanpa mengira kaum dan latar belakang serta memberi jaminan kuota Bumiputera tidak terjejas dengan pengambilan itu.