Sana sini berkongsi berita gembira tentang kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Institusi Pendidikan Mara atau lebih dikenali IPMa.
Selain lepasan SPM, ibu bapa juga antara individu yang paling teruja dan gembira dengan kejayaan anak-anak menyambung pengajian ke IPMa.
Mana tidaknya, IPMa kini menjadi rebutan ramai sehinggakan ada yang sanggup menolak tawaran pengajian lain semata-mata mahu ke institusi tersebut.
Tahukah adik-adik dan orang ramai mengenai institusi-institusi pendidikan dan latihan yang tersenarai dalam IPMa?
Baru-baru ini, Nor Shazwani Shamshudin yang merupakan salah seorang warga kerja di Institut Kemahiran Mara (IKM) Johor Bahru, Johor memuat naik perkongsian tentang senarai IPMa di akaun Facebooknya.
Perkongsian berkenaan ternyata mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan warganet apabila memperoleh lebih 1,000 tanda suka, lebih 200 komen dan lebih 300 perkongsian semula menerusi hantaran yang dibuat.
Tulis Nor Shazwani, IPMa terdiri daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), GiatMara, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII), Kolej MARA (KM) dan Kolej Profesional Mara (KPM).
Selain itu, IPMa juga mempunyai cabang swasta iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) (12 kampus), German Malaysia Institute (GMI), Kolej Poly- Tech MARA (KPTM) dan University Poly- Tech Malaysia (UPTM).
Catat Nor Shazwani lagi, TVET Mara merujuk kepada IPMa yang menjalankan program atau kursus berkaitan teknikal atau lebih dikenali sebagai ‘kemahiran’.
"Pusat TVET MARA terdiri daripada GiatMara, IKM, KKTM, MJII, GMI dan UniKL.
"Semua ini adalah laluan pendidikan yang mencakupi pelbagai bidang dan kepandaian. Lengkap.
"Terima kasih kepada yang memilih bersama kami di IPMa," ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji perkongsian Nor Shazwani yang dilihat memberi penerangan begitu jelas tentang IPMa dan cabang-cabangnya.
Ada sesetengah warga maya pula tidak ketinggalan menitipkan doa agar Mara terus cemerlang mendidik anak bangsa.