Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik pengumuman daripada Kementerian Komunikasi yang menawarkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada harga yang tidak melebihi RM30.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan berkata, kerjasama startegik dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani dalam menangani peningkatan kos sara hidup khususnya bagi membantu golongan pelajar mendapatkan liputan komunikasi dan internet lebih baik semasa sesi pengajian dan pembelajaran.
"Pakej Rahmah Prabayar Siswa ditawa pada harga tidak melebihi RM30 dengan permulaan data minimum sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari.
"Dalam pakej ini, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang pembayaran tetapi syarikat telekomunikasi bermurah hati untuk mengurangkan caj kepada mahasiswa,” katanya.
Tambahnya, bagi pihak KPT ucapan penghargaan diberikan kepada kerajaan, Kementerian Komunikasi dan syarikat telekomunikasi terliibat serta semua pihak yang sentiasa cakna dan prihatin membantu mengurangkan beban mahasiswa.
Sebelum ini, media melaporkan pengumuman oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzli untuk menawarkan pakej rahmah kepada golongan pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi latihan kemahiran (ILKA) terpilih.
"Pakej Rahmah Prabayar Siswa boleh dilanggan mulai 16 Ogos depan menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES).
"Tawaran pakej ini merupakan hasil peluasan Pakej Internet Mudah Alih (Prabayar) Rahmah yang diperkenalkan pada tahun lalu," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Etika dan Tanggungjawab Komunikasi Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), Putrajaya pada Selasa.