Kebakaran yang memusnahkan 38 rumah di Kampung Kuala Abai, Kota Belud, Sabah minggu lalu turut menyebabkan 18 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Usukan terkesan apabila kelengkapan persekolahan mereka tidak sempat diselamatkan.
Hampir keseluruhan pelajar kini tinggal sehelai sepinggang apabila kesemua barangan peribadi dan kelengkapan persekolahan musnah dalam kebakaran tersebut.
Menurut pelajar Tingkatan Tiga, Mohd Aidil Hafiz Hasmaidin, ketika kejadian itu berlaku, dia berada di rumah sedang menonton televisyen.
"Saya terdengar orang menjerit dari luar sebelum mendapati ada api sedang marak memusnahkan beberapa rumah berhampiran.
"Melihat keadaan itu, saya meluru keluar dari rumah tanpa sempat membawa satu barang pun kerana api begitu pantas merebak dan apabila api sampai ke rumah kami, saya menggeletar melihat satu persatu bahagian rumah ranap dijilat api yang marak," katanya ketika ditemui Sinar Bestari selepas menerima bantuan di Dewan SMK Usukan pada Selasa.
Katanya lagi, akibat kejadian itu semua barangan kelengkapan persekolahannya musnah dan tiada satu pun yang sempat diselamatkan melainkan dokumen pengenalan diri.
"Baju dan kasut sekolah, buku teks, buku latihan dan buku rujukan antara yang musnah selain barangan peribadi," katanya.
Seorang lagi pelajar Tingkatan Lima, Mohd Sofian Abdul Rashid berkata, disebabkan kejadian itu, dia dan dua lagi adiknya tidak dapat ke sekolah kerana barangan persekolahan termasuk baju uniform dan buku teks musnah.
"Bapa saya hanya bekerja sebagai nelayan dan ibu pula suri rumah, jadi untuk menyediakan kami kelengkapan dengan secepat mungkin agak mustahil memandangkan rumah pun sudah tiada dan kini kami menumpang di rumah kakak.
"Kejadian ini menyebabkan saya mungkin akan terlepas peluang untuk mewakili sekolah bagi sukan bola tampar kerana semua persiapan untuk ke perlawanan termasuk kasut sukan juga telah musnah.
"Tahun ini juga saya akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi sesi persekolahan juga turut terganggu kerana dilanda musibah ini," katanya.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang juga merangkap Exco Agama Islam dan Exco Pendidikan negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sumbangan wang tunai diberikan kepada kesemua pelajar yang terkesan untuk mereka membeli peralatan kelengkapan sekolah baharu susulan musibah melanda mereka.
"Saya yakin hampir kesemua 18 pelajar ini hanya tinggal sehelai sepinggang. Jadi setiap seorang pelajar diberikan RM500 melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membeli kelengkapan persekolahan baharu termasuk pakaian dan sebagainya.
"Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) juga turut menyampaikan RM1,000 manakala Baitulmal menyampaikan sebanyak RM300 bagi setiap keluarga dan diharap sumbangan dapat mengurangkan beban keluarga terjejas," katanya.