Anak pemandu bas raih keputusan cemerlang STPM 2023

Iklan
Riska (dua dari kanan) bersama ibu bapa dan adiknya selepas menerima keputusan STPM pada Selasa.

Pengorbanan seorang bapa yang hanya bekerja sebagai pemandu bas terbalas apabila anak kelimanya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 yang diumumkan pada Selasa.

Riska Sainuddin, 20, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, Kota Kinabalu berkata, bapanya banyak berkorban termasuk sentiasa memberi dorongan supaya belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan tidak dijangka.

Iklan
Iklan

"Saya pelajar asrama dan setiap jam 3 pagi, bapa akan hubungi untuk kejutkan saya supaya mengulang kaji pelajaran terutama pada minggu peperiksaan.

"Dia akan pastikan saya belajar sepanjang minggu ulang kaji dan peperiksaan supaya dapat fokus untuk menjawab peperiksaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2023 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu Selasa.

Iklan

Diminta berkongsi petua sehingga mendapat keputusan cemerlang, Riska berkata, dia lebih mementingkan pengurusan masa dalam belajar dan mementingkan hubungan baik dengan ALLAH.

"Saya akan pastikan masa diurus dengan berkesan, menjaga hubungan dengan ALLAH, meminta dan berdoa supaya diterangkan hati dalam menerima ilmu daripada guru-guru.

Iklan

"Alhamdulillah, semua keputusan cemerlang dan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 bagi subjek Geografi, Pengajian Am, Sejarah, Sains Sukan dan Pengajian Perniagaan," katanya.

Ujarnya lagi, dia kini merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan dan sudah menghadiri janji temu dengan pihak universiti.

Sementara itu, bapanya Zainudin Osman, 59, berkata, walaupun hanya bekerja sebagai pemandu bas dengan pendapatan tidak menentu, namun dia dapat menyekolahkan kesemua anak malah salah seorang daripadanya mencapai keputusan cemerlang.

"Saya akan sokong anak saya jika dia mahu melanjutkan pengajian di universiti walaupun pendapatan sebagai pemandu bas tidak menentu malah kadang-kadang hanya mendapat RM50 sehari, tetapi berkat kesabaran alhamdulillah masih boleh memikul tanggungjawab sebagai bapa.

"Selain itu, mujur juga anak-anak yang sudah bekerja banyak membantu dari segi kos pendidikan adik-adik mereka yang masih bersekolah," tuturnya.