Anak pemandu lori sampah raih PNGK 4.00 STPM 2023

Iklan
Errol (tengah) menunjukkan sijil yang diterimanya selepas dinobatkan antara pelajar terbaik STPM 2023 di Sabah.

Mengenang jasa bapa yang banyak berkorban demi menyekolahkannya menyebabkan Errol Jackson Mejon, 20, nekad menjadi salah seorang pelajar terbaik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, Tuaran, Sabah berkata, pengorbanan keluarganya tidak sia-sia apabila dia mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Iklan
Iklan

Dengan keputusan itu, dia berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di mana-mana universiti awam sekali gus dapat mengubah nasib keluarganya yang tergolong B40.

"Bapa saya hanya bekerja sebagai pemandu lori sampah dan dengan pendapatan yang tidak seberapa dia perlu menyara kami empat beradik yang masih bersekolah.

Iklan

"Ketika saya memasuki Tingkatan Enam, banyak perbelanjaan perlu disediakannya termasuk membeli peralatan persekolahan seperti komputer riba dan mesin cetak.

"Bapa terpaksa berhutang membayar secara ansuran untuk membeli peralatan tersebut yang mencecah hingga RM4,000. Selain itu, bapa juga perlu membayar tambang kereta untuk saya ke sekolah RM120 sebulan kerana perjalanan mengambil masa hampir setengah jam dari rumah di Kampung Gaya Ratau," jelasnya ketika ditemui selepas menerima sijil anugerah pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2023, di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, Selasa.

Iklan

Disebabkan kekangan kewangan, Errol sanggup bekerja pada hujung minggu untuk membantu mengurangkan beban bapanya.

"Hujung minggu saya mengambil upah membersihkan kebun saudara mara jika mereka memerlukan. Dari sini, dapatlah saya kumpul wang untuk menampung perbelanjaan di sekolah atau membeli keperluan lain," tuturnya.

Ditanya mengenai bidang yang diminatinya, Errol berkata, dia berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan atau pendidikan.

"Saya betul-betul berminat menjadi peguam tetapi setakat ini tidak melepasi untuk ditemu duga pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Saya akan cuba lagi untuk memohon dalam bidang perundangan tetapi jika masih tiada rezeki, saya mungkin akan pilih bidang pendidikan," katanya.

Sementara itu, bapa, Mejon Yombot, 60, bersyukur dan bangga dengan pencapaian anak sulungnya yang cemerlang sejak dari kecil.

"Apapun keperluan anak saya untuk belajar kami cuba usahakan dan jika mereka dapat melanjutkan pelajaran, saya sentiasa menyokong.

"Walaupun wang simpanan tidak seberapa, saya akan berusaha supaya mereka mendapat pendidikan lebih baik berbanding kami suami isteri," katanya.

Mejon berkata, dia menyedari dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM1,500 tentu sukar untuk anaknya melanjutkan pengajian termasuk seorang lagi di Tingkatan Lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan dua lagi berada di sekolah rendah.

"Tetapi saya akan gunakan pelbagai cara termasuk mendapatkan pinjaman pendidikan dalam memastikan anak sulung dapat melanjutkan pengajian dan adik-adiknya terus bersekolah," akhiri beliau.