Terpaksa lupakan hasrat jadi pelumba basikal, pelajar Tingkatan Satu dipotong kaki akibat kanser

Iklan
Mohamed So'od dan Zanariah reda dengan ujian dan keadaan dihadapi anak bongsunya.

Hasrat untuk menjadi pelumba basikal sejak kecil terpaksa dilupakan Mohd Hidayat Mujahid Mohamed So’od disebabkan penyakit kanser tulang yang dihidapnya.

Lebih menyedihkan penyakit itu turut meragut kehidupan aktif pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Seberang Temerloh, Pahang hingga menyebabkan kaki kirinya perlu dipotong pada Julai lalu.

Iklan
Iklan

Menurut bapanya, Mohamed So’od Abdullah, 57, penderitaan Mohd Hidayat bermula apabila kaki kirinya tiba-tiba membengak selepas menyertai larian merentas desa di sekolahnya.

Keadaan Mohd Hidayat selepas kehilangan kaki kiri akibat penyakit kanser tulang.

"Sehari selepas menyertai larian tersebut, anak mengadu sakit kaki dan pada mulanya saya ingatkan sakit biasa.

Iklan

"Akan tetapi sakit itu tidak hilang walaupun selepas tiga kali kami ke klinik.

"Hidayat kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan hasil ujian imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) mendapati terdapat ketulan tulang sehingga mengesahkan dia menghidap kanser tulang,” katanya.

Iklan

Tambah Mohamed So’od, anak bongsu daripada lima beradik itu merupakan seorang anak yang aktif bersukan serta tidak pernah menunjukkan sebarang simptom penyakit barah tulang.

Namun, siapa sangka penderitaan yang ditanggung Mohd Hidayat semakin bertambah selepas kaki kirinya pula terpaksa dipotong.

"Memang berat hati untuk menerima keputusan ini tetapi Mohd Hidayat sendiri mengaku tidak mampu menahan kesakitan akibat penyakit berkenaan. Dia juga reda dengan takdir ini,” katanya lagi.

Mohd Hidayat kini memerlukan penjagaan rapi yang dilakukan oleh ibunya, Zanariah sejak disahkan menghidap kanser tulang, Jun lalu.

Sementara itu, ibunya, Zanariah Abu Sah, 50, turut mengatakan anaknya Mohd Hidayat terlalu muda untuk menanggung penderitaan apabila kaki kirinya tidak dapat diselamatkan sehingga terpaksa dipotong.

"Anak terpaksa melupakan cita-citanya menjadi pelumba basikal walaupun itulah impian Mohd. Hidayat sejak kecil.

"Kini, kami berharap dapat bantuan kaki palsu yang sesuai dengan keadaan anak selain sedang menunggu bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.