Alumni MRSM genggam PhD pada usia 27 tahun. Apa rahsianya?

Iklan
Ramai berbangga dengan pencapaian luar biasa Muhammad Syahmeer How yang berjaya mengenggam PhD di usia muda.

Menamatkan pengajian pada usia muda adalah satu pencapaian luar biasa bagi individu itu.

Ia bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik, tetapi juga dedikasi, ketekunan dan semangat untuk terus maju dalam menghadapi cabaran hidup.

Iklan
Iklan

Alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Muhammad Syahmeer How Mohd Firdaus How merupakan antara insan yang cukup bertuah kerana berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam usia 27 tahun.

Warga Malaysia benar-benar ‘salute’ dengan kelebihan alumni ini kerana untuk mendapat PhD, seseorang memerlukan ketekunan, pengorbanan besar dan keazaman yang kuat.

Iklan

"Kejayaan beliau mencerminkan bukan sahaja kepintaran tetapi juga kesungguhan dan disiplin diri yang tinggi,” ujar warga maya.

Baru-baru ini, Kaunselor Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dr Zulkifli Hussain berkongsi perjalanan pengajian Muhammad Syahmeer How kepada pengguna Facebook.

Iklan

Dalam masa sama, beliau turut menyenaraikan tip yang digunakan alumni MRSM itu dalam meraih PhD di usia muda.

Ikuti catatan penuh Dr Zulkifli mengenai Muhammad Syahmeer How yang direzekikan ALLAH, mengikuti pengajian dengan begitu mudah sekali.

*****

Muhammad Syahmeer How Mohd Firdaus How dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak namun menetap di Cheras, Selangor sejak kecil.

Beliau merupakan anak pertama daripada empat adik beradik.

Ketika Tingkatan Satu hingga Tiga, pelajar ini bersekolah di MRSM Transkrian, Pulau Pinang.

Meraih keputusan 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008. Merupakan ahli Badan Wakil Pelajar (BWP) dan mewakili maktab dalam pertandingan Choral Speaking peringkat daerah, negeri dan MRSM.

Kemudian, Tingkatan Empat dan Lima berpindah ke MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka serta meraih keputusan 6A+ 3A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Dengan menggunakan keputusan percubaan SPM dari MRSM Tun Ghafar Baba, pelajar ini berjaya mendapatkan tempat di Kolej Mara Kuala Nerang, Kedah untuk peringkat foundation (2011), sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kejuruteraan Kimia) di Unikl MICET untuk tahun pertama (2012) dan tahun kedua hingga keempat di Massey University, New Zealand (2013-2015) dengan tajaan Mara.

Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda, beliau diberi tawaran oleh Professor di Massey University untuk mengikuti pengajian PhD dengan tajaan geran penyelidikan sendiri.

Kajian PhDnya ialah konsep dan teori asas dalam kejuruteraan kimia untuk memahami impak proses pengunyahan makanan terhadap deria rasa dan aroma.

Sedikit tip daripada beliau berkaitan pengajian PhD:

1) Kerap berjumpa dengan penyelia (supervisor)

Saya akan bertemu dengan keempat-empat supervisor seminggu sekali untuk membincangkan tentang struktur dan hasil kajian. Penting untuk memastikan kajian kita ada kemajuan setiap minggu walaupun sedikit.

2) Sering berinteraksi dengan pelajar yang lain

Disebabkan pengajian PhD adalah perjalanan yang sunyi, mudah untuk hilang motivasi terutamanya bila hasil kajian kita ‘gagal’ atau tidak seperti yang dirancangkan.

Tip saya ialah sentiasa kongsikan masalah kajian bersama rakan-rakan PhD lain kerana lebih senang menghadapi masalah itu bila kita tahu orang lain pun sudah melalui masalah sama.

3) Berani mengambil inisiatif

Semasa di tahun kedua PhD, kerja penyelidikan saya tergendala untuk seketika apabila diuji dengan dugaan besar di mana ayah meninggal dunia secara tiba-tiba.

Disebabkan itu, walaupun sudah di tahun ketiga, saya tidak lagi mempunyai hasil kajian yang cukup, ditambahkan pula dengan peralatan yang diperlukan untuk eksperimen tidak ada di universiti.

Kebetulan juga pada masa itu saya diberi peluang untuk membentang sebahagian daripada penyelidikan di persidangan antarabangsa di Nottingham, United Kingdom.

Melalui persidangan tersebut, saya sempat berjumpa dengan beberapa penyelidik terkemuka di dalam bidang kajian yang kebetulan mempunyai peralatan tersebut di makmal mereka.

Hasil daripada perjumpaan, saya ditawarkan menjalani kajian di Paris, Perancis selama tiga bulan di mana hasil kajian itu memberi impak besar dalam kejayaan PhD saya.

4) Amalkan kehidupan yang seimbang

PhD memerlukan penjanaan dan perkembangan idea yang berterusan terutamanya apabila sudah sampai tahap penulisan tesis.

Bagi saya, idea lebih mudah untuk keluar adalah dengan fikiran yang tenang dan segar.

Cara paling mudah ialah dengan bersukan dan sering mengambil percutian yang jauh daripada tempat belajar.

Semasa mengikuti pengajian, saya akan mengambil masa untuk bersukan (skuasy) sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan sering bercuti di luar negeri pada hari minggu.

5) Anggap PhD seperti kerja, bukan belajar

Tip saya yang terakhir ialah untuk menganggap PhD seperti suatu pekerjaan kerana ia tidak sama seperti Ijazah Sarjana Muda di mana jadual harian kelas sudah diberi universiti.

Semasa pengajian, saya selalunya berada di kampus jam 8 pagi dan hanya akan pulang selepas 5 petang (Isnin sampai Jumaat).

Bagi saya, suasana pekerjaan itu penting untuk memastikan kita serius semasa menjalankan kajian.