Beza TMUA dan MRSM Ulul Albab

Iklan
Penubuhan TMUA dan MRSM Ulul Albab adalah untuk melahirkan para profesional yang hafal al-Quran.

Kebanyakan ibu bapa sering keliru dalam memilih jalan terbaik untuk anak-anak terutamanya apabila ingin memasukkan mereka ke program atau aliran tahfiz akademik.

Kadang-kadang ibu bapa tidak yakin sama ada pilihan tahfiz akademik ini tepat dan dapat memberi keseimbangan yang ideal antara ilmu agama dan akademik untuk anak-anak.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini, pengguna Facebook dikenali Sakinah Hamid memuat naik catatan tentang bidang tahfiz akademik yang menjadi pilihan ibu bapa masa kini.

Katanya, Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab antara yang menawarkan tahfiz akademik kepada pelajar hingga menjadi rebutan dalam kalangan mereka.

Iklan

Bagaimanapun, ramai ibu bapa kurang jelas tentang fungsi antara kedua-duanya.

Ada yang beranggapan, TMUA dan MRSM Ulul Albab adalah sebuah program dan ada juga yang mengatakan aliran tahfiz akademik.

Iklan

Sakinah berkata, TMUA adalah ALIRAN yang ditawarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Dalam satu negeri, hanya ada satu sekolah TMUA sama ada di SMKA atau SBP.

Oleh kerana ia adalah aliran, maka ada mata pelajaran khas dan silibus yang perlu diikuti. Wajib habiskan silibus hafazan dan keputusan akan tercatat dalam slip Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

MRSM Ulul Albab pula adalah PROGRAM. Tiada subjek khusus dan tidak terdapat dalam slip SPM sebaliknya akan ada sijil khas untuk yang khatam dan bergraduasi.

"Kedua-duanya (TMUA dan MRSM Ulul Albab) bertujuan melahirkan para profesional yang hafal al-Quran.

"Semoga al-Quran menjadi asbab anak ada pegangan agama yang lebih kukuh dan membawa lebih banyak manfaat kepada ummah.

"Pelajar ada waktu hafazan khusus pada waktu pagi dan malam. Selain waktu tersebut, mereka akan ikuti pembelajaran dan aktiviti sama seperti pelajar lain,” tulisnya.

Sementara itu, Sakinah memberitahu, antara TMUA dan MRSM Ulul Albab, TMUA lebih tegas dalam memastikan pelajar habis silibus hafazan.

"Kedua-duanya mesti melalui proses temu duga hafazan. Dan hanya yang mohon TMUA untuk pilihan pertama sahaja akan dipanggil temu duga.

"Jadi kalau betul-betul nak mohon TMUA, kena letak ia sebagai pilihan pertama dan paling penting anak memang berminat untuk menghafal.

"Hafazan al-Quran bukan perkara mudah jika tidak datang dari minat. Banyak perkara sebagai ibu bapa yang kita perlu cakna kalau mahu anak menghafal dengan baik.

"Kita lebih dulu kena ada kecintaan yang kuat pada kalam ALLAH. Dan kita pun sekurang-kurangnya cubalah menghafal sedikit sebanyak surah-surah lazim huffaz. Moga dengannya kita dapat jadi penyokong anak yang lebih baik,” tuturnya.

Catat Sakinah lagi, minat dalam menghafal al-Quran perlu dibentuk dari awal lagi supaya mereka ada ruang untuk menerima tanggungjawab sebagai huffaz.

"Kena tengok kemampuan anak dalam menghafal dan menjaga hafalan.

"Kalau untuk Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) pun kita tak nampak minat anak ke arah hafalan, ada baiknya beri peluang yang lebih sesuai dengan kecenderungan anak.

"Janganlah kita terdesak menggunakan 'kabel' anak hafiz untuk masuk syurga sehingga menggadaikan masa depan anak itu sendiri.

"Aliran tahfiz bukan 'magic wand' untuk ubah anak kita jadi baik. Ustaz Ustazah bukan tempat dihumbankan tanggungjawab bagi anak kita 'jadi orang'.

"Tumpuan para guru adalah nak bimbing dan tasmi' hafazan pelajar dan pastikan mereka 'on track'. Bukannya nak fokus tarbiah anak kita,” ujarnya.

Akhir sekali, Sakinah menitipkan doa agar pilihan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke program atau aliran tahfiz adalah benar-benar kerana kecintaan kepada ALLAH, rasul dan al-Quran.

Dan anak mengambil tanggungjawab fardhu kifayah menghafaz al-Quran agar tidak terputus mutawatir al-Quran dan memeliharanya dari penyelewangan.