Cadangan mewajibkan ujian saringan mental kepada bakal guru dikatakan dapat mengatasi isu pendidik bermasalah terutama terlibat dalam perbuatan jenayah seksual terhadap pelajar.
Justeru, kerajaan disarankan melaksanakan cadangan tersebut supaya dapat memilih dan melantik hanya calon yang benar-benar layak dengan kesihatan mental baik untuk mendidik generasi baharu lebih berkualiti.
Cadangan berkenaan juga perlu dilaksanakan agar seorang pendidik mempunyai kesihatan mental yang baik dan tahap kesabaran tinggi selain cemerlang dalam bidang akademik.
Bagaimanapun, cadangan itu menimbulkan respons yang pelbagai dalam kalangan orang ramai.
Ada yang setuju dan ada juga yang tidak setuju dengan idea itu, namun masing-masing datang bersama hujah tersendiri.
SOKONG
Penting untuk insan bakal bergelar guru
Ini bagi memastikan barisan pendidik kita boleh berfungsi dengan baik dan dapat memberi perkhidmatan cemerlang untuk masyarakat, murid atau pelajar.
Ujian itu juga boleh menilai kemahiran interpersonal dan empati seseorang dan paling penting bagi membina hubungan yang positif dengan anak didik, ibu bapa serta rakan setugas.
Terdapat beberapa kaedah saringan boleh dilakukan antaranya melalui ujian psikologi dan temuduga serta secara pemerhatian terus.
Dengan adanya ujian saringan yang baik dan sesuai maka bakal guru yang dipilih adalah seorang yang layak dan sesuai serta mempunyai kefungsiaan yang optimum dalam mendidik anak bangsa.
Ia juga dapat mengenal pasti masalah kesihatan mental yang mungkin dihadapi bakal guru seperti tekanan atau kecemasan yang boleh mempengaruhi prestasi mereka di bilik darjah kelak.
- Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar
BANGKANG
Tidak wajar diwajibkan kepada bakal guru
Kita sedar bahawa isu kesihatan mental adalah sangat membimbangkan pada masa kini.
Namun, sekiranya diwajibkan ujian saringan mental ini, ia akan memberi lebih banyak kesan negatif terutama kepada bakal guru.
Antara kesannya termasuklah ujian saringan mental akan membawa kepada persepsi negatif atau isu diskriminasi terhadap bakal guru.
Hal ini adalah kerana apabila bakal guru mengetahui dirinya ditolak disebabkan isu kesihatan mental, bagaimana individu ini akan mendapat pekerjaan lain kerana berasa bimbang dengan stigma atau pelabelan diletakkan kepadanya.
Bakal guru akan menjadi lebih tertekan dengan keputusan ujian saringan mental yang dilakukannya.
Berkemungkinan bakal guru hanya mengalami isu kesihatan mental yang ringan, namun setelah mendapat keputusan penolakan berdasarkan ujian saringan, sudah tentu keputusan ini akan memburukkan lagi tahap tekanan sedia ada pada individu tersebut.
Isu etika dan privasi bakal guru juga boleh dipersoalkan. Isu kesihatan mental adalah satu isu sensitif dalam kalangan masyarakat.
Ini boleh mengukuhkan stereotaip negatif tentang penyakit mental. Daripada kita mewujudkan suatu tekanan baharu dalam bidang keguruan, adalah lebih baik diberikan fokus kepada cara sokongan dan menangani isu kesihatan mental bermula dari institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum melangkah ke dalam bidang pekerjaan mereka.
Saya rasa cukup dengan ujian kesihatan mental terhadap semua calon-calon guru baharu dari Institut Pendidikan Guru (IPG) yang dikenali sebagai Indeks Pengesanan Kendiri (IPK) yang dilaksanakan ketika ini.
- Pakar Pentadbiran Pendidikan, Dr Nor Azni Abdul Aziz