Seramai 14 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 16(1) mewakili Delegasi Malaysia dalam rangka jemputan oleh Sekretariat China-ASEAN Education Cooperation Week (CAECW) pada tahun ini.
Penyertaaan itu adalah sangat bermakna bagi dunia pendidikan Malaysia yang mana merupakan sekolah rendah pertama yang mengambil bahagian dalam program tersebut.
CAECW yang bermula sejak tahun 2011 itu bertujuan memperkukuh hubungan persahabatan China dengan negara-negara ASEAN melalui Pendidikan Diplomatik bagi mencapai cita-cita dan aspirasi negara ke arah menyediakan modal insan yang berkeupayaan serta mampu bersaing dalam abad ke-21 ini.
Sepanjang masa kehadiran mereka di CAECW yang dilangsungkan di Guiyang, China itu, SK Putrajaya Presint 16(1) mengambil peluang untuk bersilang budaya melalui beberapa persembahan yang menjadi perhatian wakil persidangan seperti Tarian Satu Malaysia dan koir sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada mata dunia.
Secara kebetulan juga melalui program itu, persahabatan Malaysia-China dieratkan lagi dengan keraian ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik yang sedia terjalin sejak sekian lama.
Selain itu, program itu telah menarik penyertaan ratusan perwakilan, termasuk pegawai kerajaan, pemimpin agensi penyelidikan pendidikan dan saintifik, diplomat, para cendekiawan, wakil belia, dan pengamal media bukan sahaja terhad kepada negara ASEAN malahan dari Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat, Sweden serta Switzerland.
Untuk makluman, CAECW dianjurkan oleh Kementerian Luar Negeri Republik Rakyat China, Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China, dan Kerajaan Rakyat Wilayah Guizhou.