SMK Suai bukti sekolah luar bandar mampu cemerlang!

Iklan
Pelajar Tingkatan Enam SMK Suai yang meraih kecemerlangan dalam STPM, baru-baru ini.

Sekolah luar bandar kini membuktikan bahawa kejayaan akademik bukanlah milik sekolah bandar semata-mata.

Sebaliknya, mereka (luar bandar) juga mampu cemerlang dalam peperiksaan melalui usaha gigih dan dedikasi warganya.

Iklan
Iklan

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suai, Bekenu, Sarawak antara sekolah luar bandar yang berjaya menonjolkan prestasi kecemerlangan akademik pelajar mereka menerusi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini.

Dalam keputusan itu, SMK Suai menunjukkan peningkatan dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) dan muncul sekolah luar bandar terbaik di Pejabat Pendidikan Daerah Subis di mana seorang pelajarnya, Johansson Laga anak Jerry mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dan 25 lagi memperoleh PNGK 3.00.

Iklan

Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Suai, Cikgu Wong Ling Ing merakamkan ucapan tahniah kepada semua gurunya yang telah bertungkus-lumus mendidik dan memberikan tunjuk ajar.

Cikgu Ling Ing

Katanya, guru bukan sahaja sebagai pendidik, tetapi juga pembimbing dan sahabat yang sentiasa berada di sisi pelajar bagi memastikan mereka terus berjaya.

Iklan

Pengetuanya, McNair Kudang turut menyatakan harapan untuk sentiasa bersama para pendidik dalam menggembleng tenaga dan berkongsi idea bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar STPM akan datang.

"Dengan harapan, keputusan cemerlang akan memberi peluang lebih cerah kepada mereka (pelajar) untuk bersaing dalam menempatkan diri ke menara gading," katanya.

Perkongsian pelajar cemerlang

1)"Kesusahan dan kekurangan yang dihadapi dari segi ekonomi keluarga dan pengorbanan ibu bapa menjadi inspirasi utama dalam setiap usaha. Sebelum tidur, saya sentiasa berdoa agar dipermudahkan segala urusan ketika menduduki peperiksaan. Jika ada masalah dalam pelajaran, saya akan berjumpa dengan cikgu dan kami berbincang bersama-sama." - Johansson Laga anak Jerry (PNGK 4.00, 4A)

McNair (kiri) menyampaikan insentif kepada Johansson (kanan).

2)"Saya bukan pelajar pandai, tetapi untuk berada di Tingkatan Enam yang lebih penting adalah sikap dan kerajinan. Saya sentiasa berpegang teguh kepada kata-kata guru iaitu 'konsisten' dalam pembelajaran dan jangan cepat berputus asa. Kejayaan hari ini adalah berkat doa ibu bapa, guru dan semua yang mengambil berat tentang saya.” - Veronica anak Ambros Awas (PNGK 3.83, 3A, 1B+)

Veronica