‘Semangat adik Rizal luar biasa’ - Raja Shamri kagum murid OKU mampu berdikari, terima kekurangan diri

Iklan
Terus kekal kuat. Seluruh rakyat Malaysia mendoakan adik.

Mungkin ada dalam kalangan kita masih mengingati kejadian yang menimpa pelajar lelaki dan ibunya dalam satu kemalangan tragis ditimpa muatan besi dari sebuah treler terbalik, dua tahun lalu.

Pelajar yang dikenali Mohamad Shahrul Rizal Mohd Azizi telah putus kakinya manakala ibu, Yusni Hamid meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di Pasir Puteh, Kelantan.

Iklan
Iklan

Selepas kejadian itu, ramai tertanya-tanya keadaan terkini Mohamad Shahrul Rizal yang kini berusia 14 tahun.

Bagaimana keadaannya, tinggal di mana dan apa sahaja yang berkaitan dengan Mohamad Shahrul Rizal.

Iklan

Baru-baru ini, Raja Shamri iaitu seorang tokoh motivasi terkenal negara telah memuat naik hantaran di akaun Facebooknya tentang keadaan Mohamad Shahrul Rizal.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Abang Raja berkongsi sebahagian kisah hidup Mohamad Shahrul Rizal @ adik Rizal kepada umum.

Iklan

Tulisnya, kesihatan adik Rizal berada dalam kondisi baik setelah kemalangan dua tahun lalu.

Biarpun kehilangan sebelah kaki, namun dia (adik Rizal) tetap kuat dalam meneruskan kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Menurut Raja Shamri, dia telah mewujudkan pelbagai program bagi membantu OKU membina keyakinan diri.

Justeru, dirinya telah menjemput adik Rizal untuk menyertai program sukan memanah sebagai langkah pertama perjalanan hidup pelajar ini.

"Pada peringkat awal, memang dia pemalu dan pendiam. Jadi, saya ambil inisiatif daftarkan adik Rizal untuk menyertai kejohanan memanah kebangsaan Paralimpik di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

"Ketika sesi latihan, kelihatan adik Rizal tidak bertenaga, malah semasa dia menyentuh peralatan memanah, jelas dia tidak bertenaga untuk menghabiskan enam pusingan.

"Bagaimanapun, remaja ini telah memberikan kejutan dalam kejohanan sebenar sekali gus dapat menyelesaikan 12 pusingan pada hari pertama dan hari kedua," tulisnya yang cukup kagum dengan semangat pelajar ini.

Sepanjang berada dalam kejohanan, adik Rizal berpeluang melihat ramainya OKU yang turut serta dalam sukan itu.

Pelbagai jenis kecacatan yang dapat adik Rizal perhatikan termasuk juga semangat mereka yang tidak pernah padam untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Inilah matlamat sebenar saya mewujudkan program memanah Paralimpik. Sangat-sangat menekankan aspek pembinaan dalaman OKU termasuk pembinaan jati diri, kerjaya dan juga pendidikan.

"Selain ilmu memanah, insan istimewa ini dapat menimba ilmu lain untuk diri. Segala sumbangan kalian semua ke Yayasan Raja Shamri menjadikan kita mampu untuk membantu golongan kurang upaya ini untuk membina masa depan mereka.

"Terima kasih kerana terus bersama saya di Yayasan Raja Shamri. Jom jadi orang baik-baik,” akhiri beliau yang memberi keizinan kepada Sinar Bestari untuk berkongsi di portal dan laman sosial portal pendidikan ini.