Murid Sekolah Antarabangsa Labuan juara pertandingan bercerita global

Iklan

Murid tahun satu Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS), Cayden Tiong Chen Min muncul juara Pertandingan Bercerita Dunia GEMA 2024.

Pengetua LIS, Fadlin Aimuni Binting berkata, pertandingan yang menampilkan pencerita muda dari seluruh dunia itu menyaksikan Cayden mengungguli Kategori B sekali gus menewaskan peserta dari Mumbai, India dan Batangas, Filipina yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga selepas keputusan dikeluarkan pada Isnin lepas.

Iklan
Iklan

GEMA adalah platform pendidikan antarabangsa dalam talian yang berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) terkenal dengan kelas dalam talian bertaraf dunia bagi mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Pengekodan.

Pertandingan Bercerita Dunia GEMA yang berlangsung dari 27 Mei hingga 15 Julai itu adalah antara acara yang paling dinanti-nantikan, memupuk kreativiti dan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar muda.

Iklan

Fadlin Aimuni berkata kemenangan Cayden bukan sahaja menyerlahkan bakat berceritanya, tetapi juga kualiti pendidikan yang disediakan oleh Sekolah Antarabangsa Labuan.

"Kemenangan ini membanggakan sekolah dan masyarakat setempat, mempamerkan potensi bakat muda dari Malaysia di pentas global...guru-guru dan rakan sebaya turut meraikan kejayaan Cayden," katanya kepada Bernama.

Iklan

Pertandingan itu melibatkan peserta daripada pelbagai latar belakang, masing-masing menghidupkan kisah unik melalui naratif masing-masing.

Beliau berkata penceritaan imaginatif Cayden bertajuk The Very Hungry Catepillar dan penyampaian yang penuh perasaan memikat hati para juri.

"Kemenangan ini dijangka memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar di LIS untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang kreativiti dan akademik.

"Pencapaian Cayden pada Pertandingan Bercerita Dunia GEMA ini bukan sahaja melakar kejayaan peribadi, tetapi juga menekankan kepentingan memupuk bakat muda dalam persekitaran pembelajaran yang menyokong dan dinamik," katanya.