Usia masih di bangku sekolah rendah, namun keberanian tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Perdana, Kuala Lumpur untuk mencuba sesuatu yang baharu telah membawa mereka jauh hingga ke pentas antarabangsa.
Minat terhadap robotik menjadi titik tolak buat Fateh Arsyad Ahmad Bediuzzaman, 11, Fareeha Malik Muhammad Tayyab Malik, 10, dan Muhammad Iman Mohd Raheemmi, 11, untuk menguji kemampuan mereka dalam World Robot Challenge ke-23 di Beijing, China baru-baru ini.
Ketiga-tiga murid berkenaan bukan sekadar membawa nama sekolah, malah mengharumkan Malaysia apabila berjaya mencatatkan pencapaian dalam pertandingan yang menghimpunkan peserta muda dari pelbagai negara.
Fateh Arsyad dan Fareeha yang membentuk satu pasukan dalam kategori RoboBowling berjaya menduduki tempat ke-50 secara keseluruhan, manakala Muhammad Iman pula mencuri perhatian apabila meraih tempat keempat kategori Puck Collect.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Danau Perdana, Mohd Fariz Abdul Mubin berkata, pencapaian Fateh Arsyad, Fareeha dan Muhammad Iman lahir daripada minat, usaha serta komitmen mereka, selain sokongan berterusan pihak sekolah, guru dan ibu bapa.
"Kami amat berbangga melihat murid-murid berani membawa nama sekolah dan negara ke peringkat antarabangsa. Mereka bukan sahaja membawa pulang pencapaian, tetapi turut membawa pengalaman dan keyakinan yang sangat bernilai.
"Kejayaan ini juga membuktikan bahawa dengan peluang, bimbingan dan sokongan yang tepat, murid sekolah rendah mampu bersaing dengan peserta dari seluruh dunia," katanya.
Menurut beliau, pengalaman menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa turut memberikan pendedahan kepada murid untuk mengembangkan kemahiran dalam penyelesaian masalah, kreativiti, pemikiran kritis dan kerja berpasukan.
"Lebih penting, kejayaan mereka boleh menjadi pencetus semangat kepada murid lain untuk berani mencuba, meneroka bidang baharu dan mengembangkan potensi masing-masing," katanya.
Sementara itu, pencapaian tiga murid tersebut turut diraikan warga SK Danau Perdana menerusi satu majlis ringkas yang diadakan di sekolah sebagai tanda penghargaan terhadap usaha mereka.
Bagi warga sekolah, pencapaian murid-murid berkenaan menjadi bukti bahawa pembelajaran tidak terhad kepada bilik darjah. Minat yang dipupuk dan diberi ruang untuk berkembang mampu membawa murid meneroka dunia yang lebih luas.
Terdahulu, World Robot Challenge ke-23 di Beijing menghimpunkan peserta muda dari pelbagai negara untuk menguji kemahiran robotik menerusi beberapa kategori pertandingan.
Acara bertaraf dunia itu dianjurkan dengan matlamat memperkasa kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta mencungkil bakat pencipta muda di peringkat antarabangsa.