Memori karipap, nota usang jejaki murid terpisah 8 tahun

Iklan

Selain ibu bapa, guru juga antara insan yang sentiasa bertungkus-lumus dalam memastikan setiap anak didik mempunyai peluang masa depan lebih cerah.

Meskipun tampak garang dalam mendidik, namun keikhlasan dan ketulusan mencurahkan ilmu tidak dapat dinafikan sehingga membentuk satu hubungan erat bagaikan keluarga antara guru dan murid-murid.

Iklan
Iklan

Jadi tidak hairanlah jika terdapat sesetengah murid berasa sedih hingga ada yang menitiskan air mata sekiranya berlaku situasi perpisahan sama ada guru berpindah sekolah atau persaraan.

Baru-baru ini, tular di laman sosial seorang guru, Zainun Zahari yang cuba menjejaki bekas muridnya bernama Putri Alyaa.

Iklan

Hantaran yang dimuat naik oleh guru yang digelar Ustazah Zainun itu menyentuh hati para pembaca apatah lagi hanya sekeping nota yang sudah berubah warna menjadi tanda kenangan dia bersama Putri.

"Anak murid saya yang seorang ini tidak tahu mengapa bagaikan ada sesuatu yang sentiasa membuatkan saya mencari-cari di mana dia sekarang.

Iklan

"Semasa berhijrah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Datu Hashim, Putri hadiahkan saya sebekas karipa yang sangat sedap.

"Saya simpan nota kasih beserta bekasnya sekali dari dahulu sampai sekarang. Sudah kuning warna notanya. Tiap kali terpandang, tertanya-tanya di mana agaknya Putri Alyaa sekarang?” tulisnya dalam satu hantaran.

Bahkan, bait-bait kata yang ditulis pada warkah perpisahan oleh Putri itu turut jelas menggambarkan kesedihan yang disara tatkala ustazah tersayang pergi meninggalkan sekolah.

"Walaupun hadiah pemberian ini kecil, hanya Tuhan yang mampu membalas sebesar mana hadiah kepada ustazah.

"Kita tahu ustazah bertukar ke sekolah lain tetapi ustazah mesti ingat satu perkara.

"Perkara itu adalah ustazah jangan lupakan saya. Sampai di sini sahaja ucapan saya, Putri Alyaa.” tulisnya.

Dalam hantaran tular hingga menerima 5,000 perkongsian itu, Ustazah Zainun menyatakan pemberian Putri Alyaa sangat bermakna buatnya.

Lapan tahun berlalu, kenangan yang terukir di sebuah sekolah rendah Kota Bharu segar dalam ingatannya. Sebekas karipap dimasak ibu dan sekeping warkah yang sudah berubah usang menyentuh hati pendidik itu.