Kerana watak 'Mat Jenin', murid SK Puchong Perdana diumum johan! 'Saya hanya berlatih tiga hari sahaja'

Iklan
Muhammad Alfateh yang membawakan karakter Mat Jenin dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pakaian Beragam Cerita Rakyat sempena Jualan Gudang Karangkraf 2024.

Karakter 'Mat Jenin' yang dipentaskan menerusi Pertandingan Pakaian Beragam Cerita Rakyat menjadi tuah kepada murid Sekolah kebangsaan (SK) Puchong Perdana, Puchong, Selangor apabila muncul sebagai johan sekali gus membawa pulang hamper RM100 berserta sumbangan buku bernilai RM1,000.

Johan pertandingan, Muhammad Alfateh Noorhilmi, 10, berkata, pemilihan watak 'Mat Jenin' yang sinonim dengan sikap suka berangan itu merupakan cetusan ilham ibu dan guru pengiringnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia sesuai dengan karakter sebenarnya yang ceria, bersahaja dan gemar berceloteh untuk menterjemahkan watak sedemikian.

"Persiapan hanya pada saat-saat akhir dan kami berlatih selama tiga hari sahaja manakala pakaian pula disediakan oleh ibu. Cikgu pula ajar bagaimana nak lakonkan watak 'Mat Jenin' bersama buah kelapa.

Salah seorang peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.


Peserta yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Pakaian Beragam Cerita Rakyat sempena Jualan Gudang Karangkraf 2024.

Iklan

"Sebelum ini, saya pernah mewakili sekolah di peringkat Selangor tetapi rezeki cuma dapat tempat keempat.

"Alhamdulillah, rezeki kali ini dapat tempat pertama. Memang tak sangka dan sangat gembira. Insya-ALLAH saya akan sertai lagi tahun depan,” katanya selepas pertandingan tersebut yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Iklan

Pertandingan itu dijalankan sempena Jualan Gudang Karangkraf 2024 dari 27 September hingga 6 Oktober ini.

Seramai 11 peserta dari sekolah berbeza berentap bagi merebut hadiah berupa hamper alat tulis bernilai RM100 dan sumbangan buku RM1,000 untuk johan.

Naib johan menerima hamper RM80 serta buku RM800 manakala tempat ketiga menerima hamper RM50 dan buku RM500.

Sementara itu ketua juri, Umi Danial berpandangan, penyertaan kali ini amat memberangsangkan dan peserta berjaya menyampaikan olahan kisah rakyat sambil memperagakan pakaian bagi menghidupkan watak figura legenda.

Pertandingan Pakaian Beragam Cerita Rakyat sempena Jualan Gudang Karangkraf 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

Jelas penulis genre cerita rakyat tersebut, kesemuanya menunjukkan sisi kreatif di luar kotak pemikiran meskipun masih berada di bangku sekolah rendah.

"Ada peserta berjaya menjiwai watak contohnya Mat Jenin yang pandai memancing emosi dengan hanya menggunakan mimik muka.

"Syabas diucapkan kepada peserta. Tahniah juga buat Karangkraf kerana menganjurkan pertandingan sebegini kerana ia memupuk keberanian murid untuk tampil ke hadapan dan mencungkil bakat terpendam.

"Semoga generasi baharu masa kini tahu tentang cerita rakyat zaman dahulu dan ambil pengajaran positif agar ia boleh dijadikan inspirasi bagi membentuk sahsiah diri,” ujarnya lagi.

Ruangan buku cerita dan dongeng rakyat juga disediakan khusus buat penggemar.


Pelajar tidak melepaskan peluang berkunjung ke reruai yang dibuka sepanjang jualan berlangsung.


Pengunjung teruja melihat buku pelbagai genre yang tersedia di rak buku.


Orang ramai sudah mula memenuhi ruang legar Kompleks Kumpulan Karangkraf dan membeli buku, al-Quran serta sejadah seawal jam 9 pagi.