Tinjauan Sinar Bestari di Facebook rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Batu Berendam, Melaka pada Khamis mendapati, tiada sebarang hantaran terbaru dimuat naik mereka susulan kematian pelajarnya, Muhammad Rusyaidi Mohd Razali, 17 yang maut dalam kemalangan jalan raya pagi Rabu.
Ketiadaan sebarang kemas kini di laman sosial itu, mungkin menunjukkan rasa hormat dan kesedihan warga sekolah terhadap seorang pelajar yang dikasihi.
Muhammad Rusyaidi yang merupakan pelajar Tingkatan Lima Tun Koris telah meninggal dunia di lokasi kejadian (Jalan Dato Mat Zin Batu Berendam) dan dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 awal Januari 2025.
Memetik catatan Facebook sekolah berkenaan, mereka merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham yang telah kembali ke rahmatullah pada 2 Oktober 2024.
Malah, warganet turut berdukacita dengan pemergian pelajar yang meninggal dunia ketika ingin ke sekolah.
"Innalilahi wa inna Ilaihi Raji’un. Salam takziah buat semua ahli keluarga. Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang dikasihi ALLAH SWT dan diampunkan segala dosa-dosanya, terangkan dan lapangkan kuburnya, Amin Ya Rabbal Alamin,” ujar warga maya.
Terdahulu, Muhammad Rusyaidi yang menunggang motosikal Yamaha 110 bergesel dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan terbabas sebelum diseret oleh sebuah kereta lain dari arah bertentangan di Jalan Dato Mat Zin, Batu Berendam.
Ibunya, Sabrinah Mansor, 44, sebak dengan kematian mengejut anak sulung daripada empat beradik itu.
"Dia (arwah) seorang anak yang taat dan bercita-cita mendalami bidang agama kerana katanya, ingin mengikuti jejak ayah, Mohd Razali A Rahman, 47, yang bertugas sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
"Sebelum kejadian berlaku, arwah tidak tunjuk apa-apa perubahan sebaliknya sempat gorengkan ayam kepada saya kerana dia memang pandai memasak,” ujarnya.