Pendigitalan AI lonjak nama SMK Hulu Kelang

Iklan

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hulu Kelang mencatatkan kejayaan luar biasa apabila meraih tiga kejuaraan di Universiti Teknologi Petronas, Perak.

Simposium Amalan Terbaik, Inovasi dan Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya Murid Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 8 hingga 10 Oktober itu, menobatkan SMK Hulu Kelang sebagai Johan Daerah Gombak, Johan Negeri Selangor dan Johan Kebangsaan menerusi inovasi bertajuk Pendigital Artificial Intelligence (AI) dalam amalan terbaik pengurusan kaunseling.

Iklan
Iklan

Simposium bertemakan Eksplorasi Maksimum Dunia Kerjaya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu membabitkan penyertaan dari seluruh negeri di Malaysia.

Kumpulan SMK Hulu Kelang yang dipimpin Ketua Unit Bimbingan dan Kaunseling (GBKSM), Noriham Ab Wahab berkata, kejayaan mereka disokong oleh Pembimbing Rakan Sebaya (PRS Ekstrovert) yang memainkan peranan, sekali gus mengukuhkan prestasi di pentas kebangsaan.

Iklan

"Terima kasih kami ucapkan kepada semua yang membantu. Tidak sangka SMK Hulu Kelang juara tiga kategori,” katanya kepada Sinar Bestari.

Noriham berkata, Pendigital AI adalah inovasi terunggul yang diperkenalkan dalam pengurusan kaunseling di SMK Hulu Kelang, di mana teknologi digunakan untuk memudahkan dan mem-pertingkatkan perkhidmatan bimbingan.

Iklan

"Dengan bantuan AI, SMK Hulu Kelang mampu menyediakan bimbingan lebih teratur dan berkesan kepada pelajar khususnya dalam bidang STEM,” kata Ikon Guru Kaunseling Negeri Selangor itu.

Katanya, penggunaan teknologi AI dalam pengurusan kaunseling memberikan impak besar dalam memperkasa murid.

"Dengan AI, kami dapat pastikan murid mendapat bimbingan sesuai dengan potensi dan minat mereka terutamanya dalam bidang STEM,” katanya.

Sokongan, pengiktirafan

Di bawah kendalian kepimpinan PRS Ekstrovert, mereka memainkan peranan utama dalam membantu memastikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif AI dalam kaunseling.

Pengetua SMK Hulu Kelang, Nik Nur Rahayu Che Yahaya berkata, pendekatan Pendigital AI telah membawa perkhidmatan kaunseling sekolah ke tahap baharu, sekali gus mempersiapkan murid menghadapi cabaran masa depan dalam dunia yang didorong teknologi.

"Dengan dedikasi kepimpi-nan barisan PRS Ekstrovert dan bantuan teknologi AI, kami berjaya membantu murid yang lain dalam mengenal pasti laluan kerjaya yang tepat.

"Kejayaan ini juga bonus daripada usaha kolektif yang tidak mengenal penat lelah. Kami bekerja dengan ikhlas dan anak-anak murid beri kerjasama padu setiap amanah yang diberi.

"Berkat usaha gigih dan dedikasi kaunselor dan murid-murid, kejayaan ini akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Tambah Nik Nur Rahayu, SMK Hulu Kelang membawa pulang trofi dan sijil penghargaan sebagai simbol pengiktirafan di atas kejayaan mereka mempelopori amalan terbaik pe-ngurusan kaunseling menggunakan teknologi.