Dua kakitangan SK Limau Purut maut kemalangan

Iklan
Dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di KM15 Jalan Lipis-Jerantut dekat Kampung Jeram Bungor pada Selasa. Foto ihsan PDRM

LIPIS - Dua kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan lori di Kilometer (KM) 15, Jalan Lipis-Jerantut dekat Kampung Jeram Bungor di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kejadian kira-kira 2.30 petang itu membabitkan kereta Proton Saga dan lori jenis Mitsubishi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa iaitu pemandu kereta tersebut yang bertugas sebagai pembantu operasi, Nurshida Md Najib, 28, berasal dari Pekan dan penumpang hadapan yang juga pembantu tadbir, Nurulfarhana Yahaya, 31, berasal dari Jerantut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut mendapati lori dipandu seorang lelaki bersama kelindan dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan ke Kampung Kemuncong, Mela di sini bagi tujuan mengambil tayar.

Iklan

"Kereta dinaiki dua wanita itu pula dalam perjalanan dari SK Limau Purut menuju ke Pejabat Pendidikan Daerah Lipis bagi tujuan kerja," katanya.

Keadaan kereta dinaiki kedua-dua kakitangan SK Limau Purut. Foto ihsan PDRM

Ujarnya, apabila sampai di tempat kejadian, kedua-dua kenderaan tersebut telah bertembung secara bertentangan menyebabkan kedua mangsa maut di lokasi kejadian.

Iklan

Jelas beliau, pemandu lori berusia 31 tahun cedera pada rusuk kiri, manakala kelindannya iaitu lelaki berusia 33 tahun dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kita memohon sekiranya mana-mana individu yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi Bilik Gerakan IPD Lipis di talian 093121999 atau mana-mana balai polis berhampiran," tambahnya.

Lori yang remuk di bahagian depan akibat kemalangan tersebut. Foto ihsan PDRM