Pelbagai kisah suka duka yang dapat kita saksikan sepanjang berlakunya banjir yang semakin buruk di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Paling terkesan tentulah mereka yang memiliki anak Tingkatan Lima yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 pada 2 Disember hingga 6 Februari 2025.
Seorang ibu dikenali Nor Azira Abdul Halim, 38, sanggup berbuat apa sahaja agar anaknya, Nur Ariana Mohd Rozizi, 17, dapat keluar dari kampung mereka di Gual Machang, Rantau Panjang, Kelantan menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi bagi memastikan dia menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada Isnin.
Biarpun pada ketika itu, arus deras melanda kampung mereka akibat banjir, namun beliau (Nor Azira) tetap mengharungi arus tersebut menggunakan bot demi masa depan anak tercinta.
Cerita Nor Azira, sudah dua hari mereka berusaha untuk keluar dari Kampung Gual Machang namun gagal.
"Arus terlalu deras jadi saya minta pertolongan orang ramai. Alhamdulillah ada yang sudi membantu.
"Dengan izin ALLAH, anak bersama empat calon SPM yang lain berjaya sampai di SK Gual Tinggi walaupun terpaksa meredah arus deras,” katanya yang ikut bersama semata-mata mahu memastikan anak selamat.
Sementara itu, Nur Ariana berkata, dirinya hampir berputus asa dan tidak menyangka dapat sampai ke SK Gual Tinggi.
"Tak percaya yang saya berjaya sampai ke sekolah ini. Alhamdulillah, ALLAH permudahkan segala urusan," ujarnya yang merupakan anak sulung daripada empat beradik.