Pelancongan merupakan sektor penting dalam ekonomi Malaysia, yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.
Malaysia, dengan kekayaan warisan budaya, keindahan alam semula jadi serta kemajuan infrastruktur, memiliki potensi besar untuk menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Sektor ini bukan sahaja menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi juga menyediakan berjuta-juta peluang pekerjaan di pelbagai industri.
Walaupun begitu, pelancongan juga menghadapi pelbagai cabaran, termasuk perubahan dinamik pasaran global, persaingan antarabangsa, serta isu-isu sosial dan alam sekitar.
Dalam konteks pemulihan ekonomi pasca-pandemik COVID-19, sektor pelancongan harus diberikan perhatian khusus sebagai pemangkin utama pembangunan ekonomi negara.
Sektor pelancongan telah lama diiktiraf sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Malaysia dikenali sebagai destinasi pelancongan yang menarik dengan pantai yang indah, kepelbagaian budaya dan warisan sejarah yang kaya.
Pada tahun 2023, sektor pelancongan menyumbang sebanyak RM275.8 bilion kepada KDNK negara, iaitu 15.1% berbanding 13.9% pada tahun sebelumnya.
Industri ini turut menyokong lebih daripada 3.5 juta pekerjaan yang melibatkan sektor pengangkutan, perhotelan, restoran dan perkhidmatan pemandu pelancong.
Selain kesan ekonomi langsung melalui perbelanjaan pelancong, sektor ini juga merangsang pertumbuhan sektor lain.
Sebagai contoh, pelaburan dalam infrastruktur, pelancongan seperti lapangan terbang, sistem pengangkutan awam dan penginapan meningkatkan daya saing ekonomi negara di peringkat global.
Selain itu, sektor pelancongan turut membantu meningkatkan permintaan terhadap produk tempatan, termasuk makanan, tekstil dan cenderamata.Secara keseluruhan, sektor ini memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi Malaysia.
Walaupun potensi sektor pelancongan Malaysia amat besar, terdapat beberapa cabaran yang menghalang pertumbuhan mampan sektor ini.
Malaysia menghadapi persaingan ketat daripada negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam yang turut menawarkan pelbagai tarikan pelancongan.
Destinasi-destinasi ini giat memperkenalkan pakej pelancongan yang menarik serta mempromosikan keunikan budaya mereka.
Malaysia perlu bersaing untuk memperkukuhkan imej negara sebagai destinasi pelancongan yang unik dan memperkenalkan destinasi yang kurang dikenali tetapi memiliki potensi besar.
Pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada sektor pelancongan global, termasuk Malaysia. Penutupan sempadan, sekatan perjalanan dan ketakutan terhadap risiko jangkitan mengurangkan jumlah kedatangan pelancong secara drastik.
Operasi destinasi pelancongan, hotel serta perkhidmatan pengangkutan turut terjejas, menyebabkan kehilangan pendapatan yang signifikan.
Dalam era pasca-pandemik, pemulihan sektor ini memerlukan strategi yang holistik, termasuk membina keyakinan pelancong terhadap keselamatan dan kebersihan destinasi pelancongan.
Kesan negatif terhadap alam sekitar akibat peningkatan jumlah pelancong juga menjadi cabaran besar. Aktiviti pelancongan yang tidak terkawal boleh menyebabkan pencemaran, kemusnahan biodiversiti dan penyalahgunaan sumber alam.
Oleh itu, pembangunan pelancongan perlu dilaksanakan secara mampan untuk memastikan pemeliharaan sumber semula jadi bagi generasi akan datang. Pendekatan pelancongan lestari yang melibatkan pengurusan sumber alam dengan cekap perlu diberi penekanan.
Kenaikan kos bahan api, buruh dan bahan mentah menjejaskan daya saing sektor pelancongan Malaysia.
Industri ini perlu mengadaptasi inovasi untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan. Ini termasuk memperkenalkan teknologi digital dalam pengurusan pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong.
Walaupun terdapat cabaran, sektor pelancongan Malaysia memiliki banyak peluang yang boleh dimanfaatkan untuk terus menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi.
Dengan peningkatan kesedaran global terhadap kelestarian alam sekitar, pelancongan lestari boleh menjadi daya tarikan utama Malaysia.
Negara ini mempunyai banyak destinasi semula jadi seperti Taman Negara, Pulau Redang dan Gunung Kinabalu yang sesuai untuk ekopelancongan.
Dengan mempromosikan pelancongan yang mengutamakan pemeliharaan alam sekitar dan budaya tempatan, Malaysia dapat menarik pelancong yang bertanggungjawab dan pada masa yang sama memelihara sumber alamnya.
Malaysia juga berpotensi menjadi pusat pelancongan perubatan utama di Asia, memandangkan kos rawatan yang kompetitif dan kualiti penjagaan kesihatan yang tinggi.
Pelancongan perubatan boleh diperluaskan dengan menawarkan pakej pelancongan kesihatan yang merangkumi rawatan perubatan, penginapan dan aktiviti pelancongan.
Langkah ini mampu menarik pelancong dari negara-negara jiran serta dari luar rantau ini.
Peningkatan infrastruktur pelancongan, seperti pengangkutan awam, jalan raya ke kawasan luar bandar dan fasiliti mesra pelancong, akan meningkatkan aksesibiliti dan pengalaman pelancong.
Pelaburan dalam pembangunan bandar pelancongan mesra keluarga dan mesra alam turut dapat menarik lebih ramai pelancong, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan.
Untuk memastikan sektor pelancongan Malaysia terus berkembang, beberapa langkah strategik perlu dilaksanakan.
Antaranya ialah pertama, memperkenalkan destinasi pelancongan baharu yang memiliki daya tarikan unik tetapi kurang dikenali di peringkat antarabangsa.
Kedua, teknologi digital untuk meningkatkan pengalaman pelancong, seperti aplikasi mudah alih untuk panduan destinasi, tempahan dalam talian dan pemasaran digital.
Ketiga, memberikan latihan kepada pekerja dalam sektor pelancongan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan dan daya saing.
Terakhir, menjalin kerjasama dengan negara-negara jiran dan organisasi antarabangsa untuk mempromosikan pelancongan serantau.
Sektor pelancongan Malaysia memiliki potensi besar untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara.
Dengan menangani cabaran seperti persaingan global, impak pandemik dan isu alam sekitar serta memanfaatkan peluang seperti pelancongan lestari dan pelancongan perubatan, Malaysia dapat memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama di dunia.
Kejayaan sektor ini bergantung kepada inovasi, kelestarian dan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Dengan strategi yang jelas dan pelaksanaan yang efektif, sektor pelancongan dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia secara mampan.
Maklumat Penulis:
1) Mahasiswa tahun akhir (Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Ahmad Syafwan Aiman Muhamad
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my