Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau, Melaka, Adib Irfan Mohd Nizam, 17, maut dalam perjalanan ke sekolah selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar tembok batu di Jalan Kilang Berapi, Merlimau, Melaka pagi tadi.
Difahamkan, dia merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dan bakal menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi itu, Adib Irfan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha LC 135 yang ditunggang mangsa dari arah Umbai menghala ke SMK Dang Anum telah terbabas.
"Mangsa dikatakan gagal mengawal motosikal itu sebelum melanggar tembok batu di bahu jalan di Jalan Kilang Berapi.
"Akibat kemalangan tersebut, dia cedera parah pada badan dan maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.
Ahmad Jamil berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.