SJKC Kwang Hwa terima geran €5,000 capai visi tingkat keselamatan jalan raya di sekolah

Iklan

Isu melibatkan keselamatan jalan raya di negara ini menarik perhatian murid seluruh negara sehingga menjadikan program VIA Safety Mobility sebagai platform mengetengahkan perkara berkenaan terutama di kawasan sekolah.

Menariknya program anjuran TotalEnergies Malaysia dengan kerjasama Arus Academy 2024 itu, menganugerahkan geran sebanyak €5,000 (RM23,385.92) kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa Sungai Nibong, Pulau Pinang bagi memperbaiki keselamatan jalan raya terutamanya di kawasan sekolah berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut Guru Besarnya, Leong Sook Luan, penyertaan murid dalam program VIA Safety Mobility ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengetengahkan permasalahan jalan raya di sekolah terutamanya melibatkan kesesakan lalu lintas, kelajuan kenderaan yang sukar dikawal serta sikap pengguna jalan raya yang mengabaikan keselamatan pejalan kaki.

"Keadaan lalu lintas yang sesak di luar kawasan sekolah merupakan isu yang membimbangkan dan saya berpendapat program ini dapat memperkasakan murid untuk mengambil tindakan bermakna.

Iklan

"Saya menggalakkan guru dan murid untuk bekerjasama, membentuk pasukan yang berdedikasi dan menyertai inisiatif ini dengan sepenuh hati agar dapat melaksanakan perubahan positif,” katanya.

Pasukan SJKC Kwang Hwa ini disertai oleh murid Tahun Enam iaitu Tan Jie Ling, Low Zi Ning, Oon Xin Jie, Tai Chee Ying, dan Tan Zhi Ling.

Pasukan SJKC Kwang Hwa ini terdiri daripada murid Tahun Enam dan dibimbing oleh tiga orang guru bagi membentangkan usul serta cadangan dalam menangani isu keselamatan jalan raya di sekolah menggunakan kreativiti mereka.

Iklan

Tidak hanya berjaya mewakili Malaysia dan mara ke peringkat antarabangsa, pasukan sekolah ini juga mampu membuktikan kebolehan dalam membentangkan idea bersama beberapa lagi pasukan lain daripada negara Angola, Brazil, Lubnan, Madagascar dan Maghribi.

Sebelum ini, mereka juga telah muncul juara dalam program berbentuk pertandingan VIA Safe Mobility di peringkat kebangsaan dan pertandingan serantau.

Tambah Sook Luan, murid sekolahnya telah mencadangkan beberapa penyelesaian inovatif termasuk pemasangan palang automatik untuk mengawal aliran trafik serta papan tanda dengan tulisan ‘AWAS palang automatik’ bagi menarik perhatian pengguna jalan raya.

"Selain itu, mereka juga mencadangkan penegcatan zon oren di atas jalan raya, 100 meter sebelum memasuki zon sekolah bagi tujuan memberi amaran kepada pemandu untuk memperlahankan kenderaan sebelum menghampiri kawasan sekolah.

"Dengan geran yang diterima ini, murid akan menggunakan data tersebut untuk merealisasikan visi mereka dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat buat semua rakan-rakan sekolah serta penduduk setempat,” jelasnya lagi.

Geran sebanyak €5,000 (RM23,385.92) akan digunakan untuk menambah baik keselamatan jalan raya terutamanya di kawasan sekolah.

Dalam pada itu, menerusi sokongan TotalEnergies Malaysia dan Arus Academy, murid-murid berpeluang melancarkan advokasi untuk menambah baik dan melaksanakan cadangan mereka.

Mereka bekerjasama dengan wakil rakyat tempatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mendapatkan permit bagi pengubahsuaian jalan dan laluan serta berunding dengan Bike Commute Malaysia sebuah organisasi yang memperjuangkan mobiliti bandar mampan.

Bahkan, Adun Batu Uban, Kumaresan Arumugam turut memberi nasihat dan bimbingan mengenai kebolehgunaan cadangan murid yang bertepatan dengan dasar infrastruktur tempatan.

Untuk makluman, VIA Safe Mobility adalah satu program meningkatkan kesedaran dan keselamatan jalan raya dalam kalangan golongan muda di Malaysia.

Setakat ini, program berkenaan telah berjaya menarik 11,964 murid melalui platform DELiMA Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyediakan sumber digital interaktif percuma kepada sekolah selain memupuk pengalaman pembelajaran yang menarik dan menyokong pendidikan berasaskan kurikulum.