Murid Tahun Satu dari Sekolah SRI Al-Amin, Bangi, Selangor, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan (Uwais), 7, antara mangsa yang terselamat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara malam tadi.
Selain dia, turut terselamat dalam kemalangan itu adalah adik perempuannya, Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, masing-masing sedang dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka.
Apa yang paling menyedihkan, keluarga mereka iaitu Khairul Ikhwan Mazupi, 32, (bapa); Fadzlenna Ramli, 32, (ibu); Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, (adik bongsu); Ramli Ab Wahab, 66, (datuk) meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah kemalangan pada jam 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori foton, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Katanya, siasatan awal mendapati sebuah lori dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 dan 56 tahun dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.
Apabila tiba di tempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori berkenaan tercabut dan berada di bahagian tengah lebuh raya.
"Kemalangan berlaku apabila bas yang tiba di tempat kejadian terlanggar tayar itu dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
"Semasa terbabas ke lorong bertentangan, bas berlanggar dengan Perodua Bezza hingga kereta itu terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar penghadang jalan.
"Bas itu kemudian bertembung pula dengan sebuah treler dan Toyota Estima (dinaiki keluarga Muhammad Uwais),” katanya dalam kenyataan.
Meninjau laman sosial Threads, Sinar Bestari mendapati, seorang pengguna dikenali ojh_211 telah memuat naik poster berkenaan ‘sumbangan ikhlas kematian waris dan ahli keluarga Muhammad Uwais Al-Qarni’.
Dalam poster tersebut, ada dimaklumkan yang Uwais seorang murid kelas satu Maryam di sekolah berkenaan.
Sementara itu, dalam ruangan komen, majoriti warga maya meluahkan rasa sebak atas tragedi yang berlaku kepada keluarga Uwais.
days29: Allahuakbar mesti Uwais anak yang baik sebab ramai cikgu-cikgu kenal. Al-Fatihah untuk ibu ayah dan datuknya. Moga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Moga ALLAH beri kekuatan untuk Uwais dan adiknya.
idanadia88: Innalilahi wa inna Ilaihi Raji’un. Berita yang sangat menyedihkan hari ini. Moga roh mereka yang terlibat ditempatkan dikalangan para solehin. Moga diberikan afiyah buat adik Uwais dan Sofea.
ojh_211: Kemalangan yang saya ikuti hingga ke jam 4 pagi rupanya anak murid sekolah kami. Saya tidak mengajar Tahun 1, tetapi selalu juga relief kelas ini. Jadi memag kenal anak-anak 1 Maryam. Guru kelas berkongsi gambar Uwais dan terus saya menangis. ALLAH, berilah kekuatan buat Uwais atas kehilangan kedua ibu bapa dan adik bongsunya.
rohani290973: Allahuakbar, menitik air mata ni. ALLAH duga kamu nak. Semoga ALLAH tempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.